PRU-15: Saya bukan Harry Potter – Khere Chiang

Spread the love

KUCHING, 16 Nov: Enggan mendabik dada, Lo Khere Chiang mengakui dirinya tidak mampu membuat ramalan tahap keyakinan para pengundi di Parlimen Stampin terhadap beliau.

“Saya bukan Harry Potter (yang boleh meramal masa depan), kalau saya Harry Potter, baru saya dapat memberitahu anda,” kata Lo Khere Chiang.

Perkara tersebut diluahkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu ketika disoal tentang keyakinan memenangi lebih separuh undian daripada 121,000 pemilih berdaftar di parlimen tersebut.

Selepas 12 hari berkempen, Khere Chiang berkata perkara itu diserahkan kepada kebijaksanaan pengundi untuk menentukan.

“Saya tidak dapat memberitahu anda sesuatu yang saya tidak tahu, saya tidak akan menipu, saya tidak dapat meramalkan sesuatu yang tidak tahu bagaimana untuk meramalnya,” tegasnya lagi.

Namun begitu Khere Chiang meyakini Sarawak harus diwakili kesemua 31 Ahli Parlimen ke Dewan Rakyat ekoran jumlah berkenaan akan membulatkan suara dari negeri ini.

“Tidak ada gunanya untuk memberikan laluan walaupun satu atau dua kerusi kepada parti dari Semenanjung Malaysia memandangkan mereka hanya mendengar kata atau arahan daripada ketua mereka di Semenanjung, rakyat Sarawak tidak bodoh, kita tidak akan membiarkan perkara itu berlaku kepada kita (Sarawak),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri majlis ‘Unity Dinner’ bersama komuniti di Dewan Bola Keranjang Jalan Arang di sini pada Selasa.

Walaupun Parlimen Stampin terdiri daripada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa, Batu Kitang dan Batu Kawa yang diwakili GPS, Khere Chiang enggan mendabik dada sebaliknya bertekad mahu merampas kerusi berkenaan bagi menebus kegagalan tiga penggal lalu.

“Kesemua 31 kerusi parlimen mampu dimenangi jika rakyat Sarawak berfikir secara praktikal dan faham akan senario politik semasa, bertindaklah dengan logik dan bijak, semuanya boleh dimenangi termasuk Stampin.

“Cuma kita tidak pasti berapa banyak undian kita boleh menang, tetapi saya yakin kita akan menang dengan majoriti besar di Stampin,” tegasnya sambil mengakui PRU-15 ini merupakan kali pertama buat GPS ingin merampas semula kerusi Stampin.

Beliau optimis mampu merebut semula kerusi Stampin daripada pembangkang walaupun belum dapat memberi ramalan angka tepat jumlah undian yang diperoleh kelak.

Parlimen Stampin menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Khere Chiang dengan dua calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) – Lue Ching Hing dan DAP – Chong Chieng Jen yang akan turun mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2018.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.