PRU-15: Sarawak mahu Persekutuan iktiraf JKR, JBALB dan DID sebagai jabatan teknikal

Spread the love

KUCHING, 16 Nov: Sarawak mahu kerajaan Persekutuan mengiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) sebagai jabatan teknikal.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berkata demikian menambah, pengiktirafan itu perlu untuk membolehkan tiga jabatan di bawah kerajaan Sarawak ini melaksanakan projek-projek kerajaan Persekutuan di negeri ini.

Menurutnya, Sarawak juga mahu kuasa Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam melantik pesuruhjaya kehakiman dikembalikan seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Abang Johari meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar agar mengusahakan pindaan Perlembagaan Malaysia setelah dilantik ke jawatan itu menerusi pembentukan kabinet Persekutuan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menegaskan, pindaan itu mesti memasukkan MA63 dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Kita sayang Sarawak sebab kita mesti mempertahankan hak kita. Saya tidak akan berkompromi,” katanya pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang di Siniawan, Bau dekat sini, hari ini.

Hadir sama, calon GPS Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri Pengangkutan II Sarawak Dato Henry Harry Jinep dan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Miro Simuh.

Perjuangan mengembalikan hak di bawah MA63 dan IGC yang terhakis merupakan perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menerusi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), GPS menggariskan kerajaan Sarawak telah berjaya menuntut 13 Perkara secara pentadbiran berkenaan hak Sarawak daripada kerajaan Persekutuan. 

Ini merangkumi perancangan projek pembangunan persekutuan, jawatan kakitangan awam persekutuan, kemasukan pelajar Sarawak ke universiti awam serta memperkukuh fungsi dan kerjasama jabatan negeri dan Persekutuan di Sarawak.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata, pindaan Perlembagaan Malaysia yang cuba dilakukan oleh kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) semasa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri ditolak kerana tidak memasukkan sekali perincian MA63 dan IGC.

Menurutnya, beberapa pihak mempersoalkan mengapa GPS menolak usul pindaan oleh PH.

“Saya kata ia seolah-olah melepas batuk di tangga,” katanya.

Beliau mahu rakyat Sarawak menyatakan sokongan penuh kepada GPS menerusi calon-calonnya di 31 kerusi Parlimen pada PRU-15  bagi membolehkan rundingan untuk mengembalikan hak-hak Sarawak berjaya. 

“Apabila kita kuat, kita dapat perjuangkan hak Sarawak. Bak kata Tok Nan (bekas Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem) menerusi pantunnya ‘Gunung gading puncak mahligai, sayang ketupat berisi inti, hancur badan tulang berkecai, belum dapat belum ku berhenti’,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.