PRU-15: Penambahan satu peti undi di 10 Parlimen, 2 DUN – SPR

Spread the love

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan penggunaan satu peti undi tambahan di bahagian-bahagian pilihan raya yang mempertandingkan tujuh atau lebih calon, kata Setiausahanya Datuk Ikmalrudin Ishak.

Ikmalrudin dalam kenyataan hari ini berkata tambahan peti undi itu membabitkan 10 kawasan Parlimen iaitu P009 Alor Setar, P062 Sungai Siput, P099 Ampang, P102 Bangi, P107 Sungai Buloh, P109 Kapar, P110 Klang, P111 Kota Raja, P113 Sepang dan P115 Batu.

Selain itu, tambahan peti undi turut membabitkan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu N47 Chenderiang, Perak dan N66 Bugaya, Sabah.

Ikmalrudin berkata penambahan satu peti undi di setiap saluran adalah perlu setelah mengambil kira saiz kertas undi yang disediakan adalah lebih besar dan memerlukan ruang yang mencukupi untuk memuatkan semua kertas undi yang telah ditanda oleh pengundi pada hari mengundi.

SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 dan Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.