KPDNHEP pantau jersi tiruan piala dunia

Spread the love

KUCHING, 16 Nov: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan pemantauan ke atas penjualan jersi tiruan di seluruh negara sempena kejohanan Piala Dunia FIFA 2022 Qatar yang berlansung 20 November hingga 18 Disember.

Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDNHEP Azman Adam berkata, sebanyak 526 kes dihasilkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM 11.6 juta berhubung penguatkuasaan pakaian tiruan di seluruh negara mulai 1 Januari 2018 hingga 31 Oktober lalu.

Katanya, tindakan penguatkuasaan melibatkan pelbagai jenis barangan lain termasuk makanan/minuman, kosmetik, bahan petroleum, barang elektrik, alat ganti kenderaan, alat komunikasi, perkakasan komputer dan sebagainya,

“Mana-mana orang yang didapati melakukan kesalahan dengan menjalankan aktiviti penjualan barangan tiruan boleh diambil tindakan dan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun bagi perseorangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Manakala beliau berkata, bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan yang disyaki tiruan.

Sehubungan itu, katanya, KPDNHEP sentiasa menjalinkan kerjasama dengan pemilik cap dagang berdaftar bagi memastikan setiap aduan dan tindakan penguatkuasaan yang diambil di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan termasuklah aktiviti penjualan barang tiruan yang dilakukan secara dalam talian.

Selain itu kata Azman, KPDNHEP akan mengambil tindakan penguatkuasaan lebih tegas tanpa kompromi di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Justeru, beliau menasihati pengguna agar sentiasa berhati-hati dalam pembelian termasuk secara dalam talian agar tidak mudah terpedaya serta tidak menyokong penjualan barangan tiruan kerana boleh mengakibatkan kerugian dan menjejaskan keselamatan pengguna itu sendiri. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.