Apa kata juri Getaran Jiwa buat peserta minggu kelima?

Spread the love

KUCHING, 16 Nov: Juri tetap Getaran Jiwa masih lagi ingin mencari seorang peserta yang kreatif serta mempunyai keyakinan yang tinggi dalam diri mereka mempersembahkan lagu mereka di atas pentas.

Malahan, penguasaan lagu yang telah diberikan kepada peserta perlulah dikuasai sepenuhnya agar dapat memberikan satu persembahan yang cemerlang serta dapat menghilangkan rasa gugup di atas pentas.

Norafizah Busman menegaskan bahawa peserta seharusnya mampu menangani perasaan gugup apabila membuat persembahan kerana rata-rata peserta pada minggu-minggu lepas tidak mampu menangani perasaan itu.

“Saya faham sebenarnya bukan mudah untuk mereka menangani perasaan gugup itu tetapi mereka sebenarnya sangat bagus.

“Mereka mempunyai idea-idea yang di luar kotak dan kadang-kadang saya terkejut kerana lagu tersebut boleh dibawa dengan konsep yang berbeza,” katanya ketika ditemubual oleh TVS pada Selasa.

Ditanya mengenai apakah peserta boleh belajar daripada peserta-peserta yang tersingkir pada minggu-minggu lepas, Dato Nash berkata, mereka perlu menguasai penjiwaan lagu dalam persembahan mereka.

“Setiap lagu yang dinyanyikan hendaklah mempunyai satu jiwa yang tersendiri dan ia perlu dilontarkan kepada penonton serta peminat mereka.

“Yang paling penting sekali apabila peserta mempersembahkan lagu mereka, mereka perlulah mempunyai interaksi mata dan ‘body language’ kepada para penonton serta juri yang ada di dalam stadium,” tegasnya yang mengharapkan mereka memberikan persembahan yang mantap.

Setiap peserta Getaran Jiwa akan dibimbing oleh seorang guru vokal untuk membentuk dan memantapkan vokal mereka untuk dipersembahkan.

Guru vokal Red Kaderi mengakui masih belum lagi dapat menyaksikan satu persembahan yang luar biasa daripada mana-mana peserta.

“Setelah empat minggu Getaran Jiwa ini berlangsung, saya dapati belum lagi dapat menyaksikan persembahan yang betul-betul memukau dalam kalangan peserta-peserta.

“Mungkin pada peringkat separuh akhir nanti mereka mula berani mengadaptasikan persembahan mereka di dalam nyanyian yang lebih menyerlah,” ujarnya.

Minggu ini merupakan minggu terakhir bagi peringkat pusingan awal dan hanya dua peserta sahaja yang layak untuk mengisi dua slot terakhir ke peringkat separuh akhir.

Saksikan Getaran Jiwa minggu kelima yang akan bersiaran menerusi TVS saluran 122 Astro dan MYTV pada Jumaat ini, jam 8:45 malam.

Peminat Getaran Jiwa juga boleh menyaksikan program ini secara langsung di Stadium MBKS, Bintawa dan pintu akan dibuka seawal jam 7:00 malam. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.