UTS terima dana RM20 juta daripada Kerajaan Sarawak

Spread the love

SIBU, 15 Nov: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) menerima dana berjumlah RM20 juta daripada Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas hampir setahun menjadi universiti penuh.

Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr. Khairuddin Abdul Hamid berkata, dana itu diperuntukkan melalui Skim Dermasiswa UTS untuk rakyat Sarawak dalam kumpulan B40 dan kumpulan M40 belajar di universiti tersebut serta Biasiswa Yayasan UTS untuk semua pelajar.

“Kalau kita nilaikan dari segi wang, pengurangan yuran pendaftaran daripada RM1,000 kepada RM500, dengan 1674 pelajar baharu kita ambil jadi kerajaan negeri sudah menyumbang RM837,000.

“Sementara itu, bagi yuran asas program Sastera dan Sains, seramai 930 orang yang tidak perlu membayar yuran pengajian tidak kira dari mana mereka berasal sama ada Sabah, Sarawak atau Semenanjung Malaysia di mana kerajaan telah menyumbang sebanyak RM9.3 juta.

“Untuk Sarjana Muda, Sarjana, dan PhD program, kami memberi pengurangan bayaran tuisyen sebanyak 50 peratus dan kami telah berjaya memberikan biasiswa bernilai RM5.5 juta.

“Jadi, jika disatukan dengan biasiswa yang kita sebutkan tadi, kerajaan negeri menyumbang hampir RM20 juta kepada pelajar UTS,” katanya semasa program Biasiswa Pelajar di UTS di sini semalam.

Khairuddin dalam pada itu menyatakan bahawa bilangan kemasukan pelajar ke UTS juga turut mencatatkan peningkatan secara drastik melalui inisiatif yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak.

Oleh itu, beliau berterima kasih kepada kerajaan negeri yang komited memastikan pelajar khususnya warga Sarawak dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Sementara itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam ucapannya berkata, kelebihan mempunyai universiti milik Sarawak ialah pelajar dari Sarawak tidak tertakluk kepada permohonan UPU (Unit Pengambilan Universiti).

“Sebelum ini pelajar perlu memohon UPU yang menyebabkan permohonan pelajar tidak menentu berikutan persaingan yang sengit di peringkat negara.

“Kami memberi peluang kepada anak muda Sarawak dan pelajar lain untuk belajar di universiti kami tanpa perlu memohon melalui UPU,” katanya.

Seramai 23 pelajar UTS menerima bantuan biasiswa termasuk Skim Biasiswa Pinjaman Pendidikan dalam Negeri (16 pelajar), Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Sarawak (enam pelajar) dan Yayasan Biasiswa Tunku Abdul Rahman Sarawak (seorang).

Hadir sama pada program tersebut ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.