Undi awal PRU-15 dan PRK DUN Bugaya capai 94.72 peratus – SPR

Spread the love

KUALA LUMPUR, 15 Nov: Peratusan keseluruhan undi awal pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah hari ini mencecah 94.72 peratus.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),  jumlah itu melibatkan seramai 212,961 orang pengundi yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan, anggota polis serta Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan telah melaksanakan tanggungjawab mereka.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini.

“Penghargaan juga diucapkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Penerangan Malaysia, media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Secara keseluruhan pada PRU-15 ini, seramai 224,828 anggota tentera dan polis serta pasangan layak mengundi.

Jumlah itu merangkumi seramai 117,473 anggota tentera dan 107,355 polis serta pasangan yang mengundi di 578 pusat di seluruh negara. – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.