Tentera bantu SPR sekiranya banjir pada 19 Nov – Panglima

Spread the love

KUALA LUMPUR, 15 Nov: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya berlaku banjir pada hari pengundian Sabtu ini.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ketika ini kesemua aset dan anggotanya berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi berdepan sebarang kemungkinan.

“Kita bersiap sedia di barisan hadapan untuk membantu SPR,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir mengundi sempena hari pengundian awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Tun Hussein Onn di sini hari ini.

Turut mengundi bersama Affendi ialah isterinya, Puan Sri Tengku Muhaini Al-Marhum Sultan Ahmad Shah.

Sementara itu, beliau turut berpuas hati dengan peratusan anggota ATM yang keluar mengundi setakat ini.

“Anggota ATM memberi respon yang positif dan jumlah peratusan yang keluar mengundi setakat ini menggalakkan.

“Saya berharap kesemua akan mengundi kerana cuaca baik hari ini yang melancarkan lagi urusan pengundian,”katanya.

Sebanyak 146,737 anggota ATM dan pasangan berdaftar sebagai pengundi awal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di 153 pusat pengundian di seluruh negara yang diwartakan oleh SPR. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.