PRU-15: IPD Lawas pastikan keselamatan rakyat keluar mengundi Sabtu ini

Spread the love

LAWAS, 15 Nov: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas komited memastikan keselamatan dan keamanan warga Lawas pada hari pembuangan undi Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Sila Kadong berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan yang lain untuk memudahkan urusan mereka yang keluar mengundi.

“Kita telah membuat persiapan bersama-sama dengan agensi-agensi lain, iaitu Bomba, Pejabat Residen, Pejabat Daerah dan agensi-agensi lain.

“Sekiranya pengundi-pengundi pada 19 November nanti ada masalah untuk pergi mengundi dan kalau kawasan mereka dinaiki air, sila hubungi bilik gerakan polis yang bertugas dalam tempoh 24 jam untuk membantu pengundi-pengundi supaya sampai dengan selamat di tempat mengundi dan balik dengan selamat juga,” katanya ketika ditemui selepas selesai membuang undi sekitar jam 8.30 pagi di Rumah PERKEP IPD Lawas, hari ini.

Pada masa sama beliau memaklumkan situasi berkempen di Parlimen Lawas terkawal dan tidak ada sebarang bentuk laporan diterima daripada parti politik mahupun individu.

Menjelang hari mengundi nanti juga katanya, anggota polis sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Seperti yang kita sudah tahu, calon bagi Parlimen Lawas adalah orang tempatan, jadi sekiranya ada apa-apa yang tidak diingini berlaku, pihak polis sudah bersedia. Kita telah menyediakan Pasukan Cantas (10 anggota) dan Pasukan Unit Tempur Ringan (LSF) (10 anggota),” jelasnya.

Sementara itu menurut Sila lagi, untuk kawasan Ba’Kelalan, pada 19 November nanti polis dengan Ketua Tempat Mengundi (KTM) akan menggunakan helikopter untuk membawa peti undi balik.

“Semasa pergi ke Ba’Kelalan mereka akan menggunakan laluan darat,” ujarnya lagi.

Hari ini, 120 anggota IPD Lawas disenaraikan untuk undi awal termasuk yang mengundi secara pos.

Tinjauan pasukan TVS di Lawas mendapati suasana mengundi awal tenang dan kebanyakan anggota tiba untuk menunggu giliran membuang undi pada jam 7.30 pagi.

Menurut Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.222 Lawas, Ladin Atok, hanya satu saluran dibuka untuk undi awal membabitkan anggota IPD Lawas. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.