Polis Mukah kawal lalu lintas, jamin keselamatan pengundi pada 19 Nov

Spread the love

MUKAH, 15 Nov: Polis akan menempatkan anggota di beberapa laluan yang dikenal pasti bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas pada hari mengundi, 19 November ini.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias yang berkata demikian turut menambah, keselamatan para pengundi juga dijamin pada hari berkenaan.

Justeru, beliau menyeru para pengundi di kawasan Parlimen Mukah agar turun menunaikan tanggungjawab beramai-ramai tanpa ragu-ragu.

Mengenai proses pengundian awal, beliau yang ditemui selepas mengundi di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah hari ini, berkata seramai 202 anggota dan pegawai polis menunaikan tanggungjawab mereka.

Jumlah berkenaan membabitkan 73 anggota dan pegawai di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat, 123 orang di DUN Tellian dan enam lagi di DUN Balingian.

“Proses pengundian awal di kawasan Parlimen Mukah berjalan lancar tanpa gangguan daripada mana-mana anasir yang dijangka cuba menggugat ketenteraman awam,” ujarnya

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.