Kes demam denggi naik 1.3 peratus minggu lepas

Spread the love

KUALA LUMPUR, 15 Nov: Jumlah kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-45 tahun ini (ME45/22) iaitu dari 6 hingga 12 Nov meningkat sebanyak 22 kes atau 1.3 peratus kepada 1,715 berbanding 1,693 berbanding pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu berkenaan.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 52,977 kes berbanding 22,581 kes bagi tempoh sama 2021 iaitu peningkatan sebanyak 30,396 kes (134.6 peratus),” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 37 kematian akibat komplikasi denggi turut dilaporkan berbanding 18 kematian bagi tempoh sama pada 2021, iaitu peningkatan sebanyak 19 kematian.

Katanya jumlah lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME45/22 juga meningkat kepada 68 berbanding 50 pada minggu sebelumnya.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah itu, 38 lokaliti hotspot berada di Selangor, Sabah (18), Kuala Lumpur dan Putrajaya (10) dan Perak serta Sarawak (masing-masing satu).

Mengenai survelan chikungunya katanya, sebanyak enam kes direkodkan pada ME45/22 dengan tiga kes dari Pulau Pinang, Selangor (dua) dan Perak (satu).

“Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 688 kes,” katanya.

Bagi survelan zika, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 1,800 sampel darah dan 16 sampel urin telah disaring dan hasil kesemuanya adalah negatif.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.