Profil lapan peserta terakhir Getaran Jiwa, jom kenali mereka

Spread the love

KUCHING, 15 Nov: Setelah empat minggu Getaran Jiwa telah bersiaran di TVS sejak 21 Oktober lalu dan dari minggu ke minggu, kita telah melihat dua peserta dari setiap minggu berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir.

Minggu ini merupakan minggu terakhir bagi peringkat pusingan awal dan hanya dua peserta sahaja yang layak untuk mengisi dua slot terakhir ke peringkat separuh akhir.

Mari kita kenali siapakah peserta-peserta minggu kelima Getaran Jiwa.

Peserta Getaran Jiwa Episod 5. Foto: TVS

YUNADIA

Yunadia, 21, merupakan seorang anak watan dari negeri Perak mempunyai single sendiri yang berjudul ‘Cha Cha Cinta’ yang kini mencecah hampir 500k tontonan di YouTube.

Yunadia dikatakan mula minat menyanyi sejak berumur 10 tahun, aktif menyanyi di sekolah di mana dia merupakan penyanyi utama bagi band sekolah iaitu “Kombo Cili Padi”.

Kini, dia adalah seorang pelajar Jurusan Pendidikan dan bercita-cita untuk menjadi seorang guru Bahasa Inggeris.

AMEEM

Ammem, 34, pernah dinobatkan sebagai Naib Juara dalam satu program realiti nyanyian TV pada tahun 2020.

Sudah 13 tahun dikatakan telah diceburi oleh Ammem dalam industri muzik ini dan bermacam-macam pertandingan telah dia sertai namun diakui bahawa agak sukar untuk kekal berada dalam bidang industri ini.

Ammem yang berasal dari Johor itu suka meluangkan masa lapangnya dengan memasak, berzumba, berfesyen dan membeli barang di atas talian.

HANZ

Seorang penggaya rambut dan jurusolek dari Sabah ini, Hanz, pernah menyertai berbagai-bagai pertandingan nyanyian sejak dari kecil dan antara program realiti nyanyian TV terbesar adalah pada tahun 2008 di mana dia tersenarai dalam 30 teratas.

Hanz, 34, berkata, dalam bidang pekerjaan yang diceburi itu pernah menjadi jurusolek kepada artis-artis Malaysia yang ternama termasuklah Allahyarhamah Siti Sarah.

Menariknya, Hanz mempunyai sorang rakan baik dalam program Getaran Jiwa ini juga iaitu Santiana Ramli, di mana Santiana berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir bersama Aruel Ariel pada minggu ke-3.

AFIF TENOR

Boleh bernyanyi, boleh bermain alat muzik, boleh mencipta lagu dan boleh menulis puisi adalah kelebihan peserta Getaran Jiwa dari Sarawak ini iaitu Afif Tenor.

Afif, 33, dikatakan pandai menarik perhatian penonton-penonton di khalayak ramai dengan nyanyian yang merdunya itu.

Harapan beliau menyertai Getaran Jiwa pada musim ini adalah untuk melihat peluang yang ada pada dirinya sendiri dalam setiap perkara yang diceburi.

MEGAWATI

Megawati, 44, digambarkan sebagai seorang yang mempunyai personaliti menarik, peramah dan ceria kerana dia adalah seorang anak bongsu daripada lapan orang adik beradik.

Dia pernah menyertai pertandingan lagu asli di peringkat bahagian dan teater di peringkat negeri Sarawak dan dikatakan juga minat dalam bidang lakonan, tarian dan tatarias.

Megawati yang kini berniaga sendiri juga aktif dalam kelab dan persatuan.

AUSTIN

Seorang bekas penghidap penyakit pankreatitis kronik sejak 2018, Austin, 22, bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera.

Austin yang juga merupakan seorang pelajar universiti dari Sarawak itu sudah mempunyai kumpulan kugiran sendiri yang diberi nama “Mysterious Band” sejak tahun 2018, namun hanya kekal aktif hingga tahun 2020 kerana kini sibuk dengan pembelajarannya.

Dia dikatakan mewarisi bakat nyanyian daripada bapanya yang dahulunya merupakan sorang penyanyi yang aktif dengan lagu bergenre rock lama.

FADIL

Fadil, 33, seorang pendidik yang mengajar subjek Sains dan Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah.

Fadil yang juga merupakan seorang anak Sarawak selalu mempraktikkan “Didik Hibur” kepada anak-anak muridnya iaitu mendidik sambil menghibur.

Bukan sahaja boleh mengajar tetapi aktif menyanyi sejak 23 tahun yang lalu dan pentas Getaran Jiwa ini adalah kali yang pertama menyanyi secara langsung di hadapan khalayak ramai.

HASTY

Hasty, 31, dari Sarawak mempunyai perwatakan yang ‘happy go lucky,’ suka melawak dan juga suka makan.

Pada masa yang sama, Hasty juga aktif menjadi seorang penyanyi latar dan sering mengikuti pementasan teater kerana suka mencuba sesuatu yang baharu.

Hasty menceritakan bahawa dia pernah cuba menyertai ujibakat dalam program realiti nyanyian TV namun tidak terpilih dan dia berharap bahawa Getaran Jiwa ini menjadi sinar yang baharu buat dirinya.

Secara rumusannya, lima peserta dari Sarawak dan tiga peserta lagi dari seluruh Malaysia iaitu Perak, Johor dan Sabah yang datang dari berlainan latar belakang itu akan merebut dua slot terakhir ke peringkat separuh akhir Getaran Jiwa.

Getaran Jiwa minggu ke-5 akan bersiaran menerusi TVS saluran 122 Astro dan MYTV pada Jumaat ini, jam 8:45 malam.

Penonton juga boleh menyaksikan program ini secara langsung di Stadium MBKS, Bintawa dan pintu akan dibuka seawal jam 7:00 malam. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.