Anggota tentera mengaku ‘gelabah’ kali pertama mengundi

Spread the love

GEORGE TOWN,15 Nov: Seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengaku gelabah apabila kali pertama menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Namun Lans Koperal S. Kisukgan berkata, pada masa sama, dia turut teruja apabila berpeluang melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

“Mula-mula saya rasa gelabah dan tangan menggigil, namun kawan-kawan bantu tenangkan saya.

“Saya sangat teruja dan gembira dapat menunaikan tanggungjawab ini dan tidak rasa gemuruh selepas selesai membuang undi,” katanya kepada pemberita selepas mengundi di Kem 2 Rejem Askar Melayu Diraja, Bayan Baru di sini.

Sementara itu, Komander Artileri Divisyen, Kolonel Mohd. Tarmizi Basri berkata, seramai 4,438 anggota ATM melaksanakan tanggungjawab pada pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hari ini.

Katanya, daripada jumlah itu, 576 merupakan pengundi pos susulan terlibat pelbagai operasi termasuk misi di Lubnan daripada keseluruhan 5,014 pengundi.

Ujarnya, terdapat lapan pusat mengundi awal tentera yang dibuka di Pulau Pinang.

“Ia membabitkan lima kawasan Parlimen daripada keseluruhan 13 kawasan Parlimen termasuk Tasek Gelugor, Bayan Baru, Bukit Bendera, Tanjong dan Bukit Gelugor,”katanya.

Dalam perkembangan sama, seramai 6,051 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan pengundian awal di negeri ini yang membabitkan 28 pusat mengundi. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.