UNIFOR diperuntukkan RM100 juta untuk 2023

Spread the love

SIBU, 15 Nov: Kerajaan Sarawak akan memperuntukkan dana RM100 juta bagi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) pada tahun depan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dana itu diperuntukkan menerusi permohonan yang diterima daripada UNIFOR.

“UNIFOR minta tambah peruntukan pada 2023, jadi kita bersetuju untuk menambah, saya (kerajaan Sarawak) akan meningkatkan dana kepada RM100 juta tahun depan.

“Selain itu, wakil-wakil rakyat dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga menyumbang melalui peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) dan projek transformasi luar bandar (RTP).

“Mereka ada peruntukan, dan mereka juga membantu institusi keagamaan, maknanya apabila anda melakukan perkara yang baik, Tuhan akan memberi ganjaran kepada kita,” katanya semasa berucap dalam Majlis Apresiasi UNIFOR Bahagian Sibu di sini pada Isnin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengarah UNIFOR Richard Lon dan Residen Bahagian Sibu Wong Hee Sieng.

Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam ucapannya menyatakan sebanyak RM255 juta telah diperuntukkan kepada UNIFOR sejak 2017.

Katanya, bagi Kumpulan Wang Bantuan Pembangunan Khas (SDAF), RM215 juta telah diperuntukkan, dengan RM15 juta diperuntukkan pada 2017, RM20 juta pada 2018, RM30 juta pada 2019, dan RM50 juta setiap satu pada 2020, 2021, dan 2022.

“Bagi sekolah mubaligh, RM30 juta telah diperuntukkan, dengan RM15 juta setiap satu diperuntukkan pada 2021 dan 2022.

“Tambahan pula, untuk bantuan operasi COVID-19, RM10 juta telah diperuntukkan, dengan RM5 juta diperuntukkan setiap satu pada 2021 dan 2022,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.