Syarikat penerbangan sendiri mudahkan pelancong ke Sarawak – Abdul Karim

Spread the love

KUCHING, 14 Nov: Memiliki syarikat penerbangan sendiri pastinya bakal memberi banyak manfaat kepada sektor pelancongan Sarawak kerana kebanyakan pelancong mahukan penerbangan terus ke negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, salah satu punca yang menyebabkan industri pelancongan Sarawak sedikit terjejas ialah ketiadaan penerbangan terus ke Sarawak.

“Ramai pelancong yang mahu datang tetapi terpaksa melalui Singapura, Kuala Lumpur. Mereka mahukan penerbangan terus dan ia sedang dalam perbincangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak d sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu mewakii  Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis berkenaan.

Tambahnya, dengan adanya syarikat penerbangan sendiri, ia akan memudahkan para pelancong masuk ke Sarawak, sekali gus meningkatkan sektor pelancongan.

Terdahulu, Abang Johari memberitahu, hasrat Sarawak untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri akan tercapai dalam masa terdekat.

Ia berikutan pada peringkat ini, kerajaan negeri sedang menunggu keputusan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) berkaitan pemilikan lesen memandangkan kajian mengenai penubuhan syarikat penerbangan itu telah pun selesai. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.