Seramai 224,828 pengundi awal jalankan tanggungjawab pada Selasa

Spread the love

KUALA LUMPUR, 14 Nov: Sejumlah 224,828 orang pengundi awal akan menjadi kumpulan pertama mengundi pada proses pengundian di 578 Pusat Mengundi Awal bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan berkata jumlah itu terdiri daripada 117,473 anggota tentera dan pasangan serta 107,355 anggota polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Bagi tujuan ini, Pusat Mengundi Awal yang telah ditetapkan SPR akan dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5 petang. Namun terdapat beberapa Pusat Mengundi Awal yang akan ditutup lebih awal.

SPR turut menyarankan kepada pengundi awal yang positif COVID-19 untuk berhubung terus dengan Pegawai Kesihatan Daerah bagi memudahkan urusan pengundian awal nanti,” katanya.

Proses pengundian awal itu turut disaksikan oleh ejen calon yang bertanding dan akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook SPR di beberapa Pusat Mengundi Awal terpilih.

Menurutnya, kertas-kertas undi awal akan disimpan di lokap-lokap balai polis untuk jagaan selamat dan hanya akan dikira pada Sabtu (19 Nov) ini bermula 4 petang di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR disaksikan oleh ejen calon masing-masing.

SPR turut menasihati pengundi untuk membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 atau 03-88880040 selain aplikasi MySPR Semak.

SPR menetapkan 19 Nov sebagai hari mengundi. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.