Projek bekalan elektrik di Bulantak siap 80 peratus

Spread the love

LIMBANG, 14 Nov: Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Kampung Bulantak di sini, telah siap 80 peratus, kata Ketua Kampung Bulantak, Abdul Aji Ali,36.

 

Menurutnya, kerja-kerja memacakkan tiang telah bermula sejak pertengahan Jun lepas dan bakal memanfaatkan sekitar 73 orang penduduk di Kampung Bulantak.

 

Walaupun hanya boleh diakses melalui laluan sungai, Kampung Bulantak Limbang, tidak pernah disisihkan untuk menerima arus pembangunan dan kemudahan asas seperti bekalan elektrik 24 jam. Foto: Akma Salleh

“Alhamdulillah, kami berharap dengan adanya bekalan elektrik 24 jam itu nanti ia bakal mengubah nasib penduduk di sini, disamping menjimatkan kos sara hidup, ini kerana sebelum ini kami di Kampung Bulantak hanya bergantung sepenuhnya kepada enjin generator.

“Kita sedia maklum harga minyak enjin itu juga agak mahal, dan penduduk di sini pula hanya bekerja sebagai nelayan,” katanya kepada TVS baru-baru ini.

Berhubung kemudahan air bersih, katanya, penduduk sudah menikmati bekalan air bersih lima tahun yang lepas menerusi Projek Bekalan Air Bersih Alternatif Sarawak (SAWAS).

 

“Kalau dulu, kami hanya menggunakan tangki kecil sahaja untuk keperluan harian, namun kini syukurlah, bekalan ini memudahkan urusan harian kami di sini,” katanya.

 

Projek Bekalan Air Bersih Alternatif Sarawak (SAWAS) di Kampung Bulantak. Foto: Akma Salleh

Walaupun demikian, penduduk di Kampung Bulantak masih memerlukan kemudahan-kemudahan lain seperti jambatan konkrit dan balai raya, jambatan titi sedia ada kini sudah uzur dan tidak tahan lama.

“Kami memohon kepada pihak berwajib untuk mempertimbangkan permintaan kami, kerana jambatan titi sedia ada kini sudah tiga kali dibaik pulih.

Laluan titi di Kampung Bulantak. Foto: Akma Salleh

“Kita sedia maklum, jalan di kampung ini paya, dan mudah becak, jadi dengan adanya jambatan konkrit nanti, ia memudahkankan lagi penduduk di sini.

“Berhubung balai raya pula, balai raya sedia ada kini juga telah usang, jadi kalau ada balai raya yang baharu, kami dapatlah berkumpul dan melakukan aktiviti di balai raya itu nanti,” jelasnya lagi.-TVS

 

 

 

 

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.