Pendekkan proses permohonan kewarganegaraan

Spread the love

DALAT, 14 Nov: Dato Sri Fatimah Abdullah menzahirkan harapan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob agar dapat memudahkan proses permohonan bagi mendapatkan kewarganegaraan dalam kalangan rakyat.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti itu berkata demikian selepas berpeluang bertemu dengan Perdana Menteri dalam lawatan kerjanya ke Selangau bagi merasmikan Pan Borneo bagi kawasan tersebut.

“Permohonan kewarganegaraan diputuskan oleh Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya dan mengambil masa yang agak lama untuk diluluskan.

“Sekiranya Barisan Nasional (BN) menang dan dapat bentuk kerajaaan, bolehkah Datuk Seri (Ismail) pendekkan tempoh permohonan dalam kalangan rakyat Sarawak?

“Kita sedia mengetahui bahawa proses tersebut mengambil masa empat hingga lima tahun. Sedangkan, anak semakin hari semakin membesar dan ia akan menyukarkan kehidupan mereka apabila tidak mempunyai kewarganegaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Program Pemerkasaan Komuniti Pemulihan OSC di Dalat, hari ini.

“Kanak-kanak tersebut pasti akan mengalami masalah sosial kerana tidak memiliki kerakyatan, pada masa sama tidak berpeluang mendapatkan pendidikan sekali gus menyebabkan mereka sukar mendapat pekerjaan dan sebagainya.

“Kewarganegaraan ini adalah hak asasi kanak-kanak. Mereka memerlukan kewarganegaraan secepat mungkin,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.