Miss Sabah Tourism wakili Malaysia pada Miss Tourism International 2022

Spread the love

KUCHING, 14 Nov: Miss Sabah Tourism dan Miss Malaysia Tourism dari Kota Kinabalu, Sabah, Phoebe Ong Yi Huui,25, menjadi wakil tunggal Malaysia pada Miss Tourism International 2022 World Final pada edisi ke-25 ini.

Phoebe berasa bangga kerana diberi peluang untuk mewakili Malaysia dalam peringkat dunia di Miss Toursim International 2022.

“Sudah tentunya saya berasa sangat gembira dan bangga kerana mewakili Malaysia dan dapat bertemu dengan 39 lagi peragawati dari pelosok dunia,” katanya ditemui TVS selepas sidang media Miss Tourism International 2022 World Final Edisi Ke-25 di  Hotel dan Pusat Konvensyen RAIA hari ini.

Beliau juga menegaskan bahawa menang kalah itu adalah adat pertandingan dan lebih mengutamakan objektif Miss Tourism International yang mempromosi pelancongan, budaya dan persahabatan.

“Seperti apa yang disebut oleh Presiden Miss Tourism International, Tan Sri Datuk Danny Ooi, beliau mahu peragawati untuk mempromosikan pelancongan, budaya dan persahabatan di Malaysia mahupun di seantero dunia.

“Bagi saya, persahabatan itu amat penting dan itu ditonjolkan pada peringkat negeri dan kebangsaan terdahulu,” tegasnya.

Ditanya apakah perancangan seterusnya, Phoebe mahu mempromosikan Malaysia di mata dunia.

“Saya sebagai Duta Miss Malaysia Tourism akan terus mempromosi Malaysia di mata dunia melalui penggunaan media sosial.

“Pada masa yang sama, saya juga sangat suka untuk mengembara di serata dunia untuk mengenali budaya dan pelancongan mereka,” ujarnya.

Malam kemuncak Miss Tourism International 2022 akan diadakan pada 25 November ini, jam 7:00 malam di Hotel dan Pusat Konvensyen RAIA, Kuching.

Kali terakhir Malaysia memenangi gelaran Miss Tourism International adalah pada tahun 2011 dan dimenangi oleh Gabriella Robinson pada ketika itu dihoskan di Selangor. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.