Masalah kerosakan enjin bot punca nelayan terkandas di laut

Spread the love

MUKAH, 14 Nov: Masalah kerosakan enjin bot dipercayai menjadi punca seorang nelayan dari Kampung Telian Mukah di sini, terkandas di laut ketika keluar menangkap ikan semalam.

Mangsa, Kamilus Ben ditemukan selamat oleh nelayan tempatan yang melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) berhampiran Kampung Penat jam 12.11 tengah malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba berkata, bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah menerima panggilan daripada orang awam terdapat orang dikhuatiri hilang di perairan Mukah jam  6.15 petang.

“Mangsa dilaporkan hilang di perairan Mukah selepas keluar ke laut menangkap ikan pada sebelah pagi dan gagal balik ke rumah sehingga jam 5.30 petang.

“Keluarga mangsa cuba menghubunginya  tetapi tiada jawapan. Pihak Bomba menasihati ahli keluarga mangsa untuk membuat laporan polis di balai polis berdekatan untuk melaporkan kes hilang itu, “ katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pihak Bomba mengumpul maklumat dan menunggu  arahan dari pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.

“Bagaimanapun, selepas itu petugas kawalan BBP Mukah menerima panggilan dari Nick Camillus memaklumkan mangsa telah dijumpai oleh nelayan tempatan dalam keadaan selamat,” ujarnya.-TVS

 

 

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.