Lebuhraya Pan Borneo dari Sematan ke Miri kini siap 89 peratus – Fadillah

Spread the love

SELANGAU, 14 Nov: Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dari Sematan ke Miri yang kini sedang giat dilaksana dijangka siap pada suku pertama 2023, kata Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof.

Menurutnya, status kemajuan bagi baki 10 pakej kerja pembinaan lebuh raya sepanjang 786 kilometer itu kini ialah 89 peratus.

“Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak ini masih belum siap sepenuhnya dan masih dalam pembinaan. 

“Saya mohon maaf di atas ketidakselesaan pengguna jalan raya sewaktu proses pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak ini berlangsung dan mengharapkan kesabaran dan kerjasama tuan/puan semua sehingga keseluruhan projek ini disiapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian pembukaan jalan Seksyen Selangau, Lebuhraya Pan Borneo yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Mengenai Seksyen Selangau, Fadillah berkata lebuh raya sepanjang 27 kilometer ini adalah salah satu daripada dua seksyen di bawah Pakej Kerja 8, Jambatan Sungai Kua ke Jambatan Sungai Arip. 

Dengan menaiktaraf jalan sedia ada dari satu lorong dua hala kepada dua lorong dua hala, ini akan membantu memudahkan aliran trafik antara Sibu ke Bintulu. 

Selain itu penduduk di sepanjang jajaran iaitu Bandar Sibu, Selangau, Mukah dan Balingian turut mendapat faedah infrastruktur jalan raya yang lebih baik, selesa dan selamat hasil daripada pembinaan jalan ini.

Projek ini yang bermula pada 1 November 2016 dan akan dibuka sepenuhnya pada 14 November 2022. 

Kos keseluruhan bagi seksyen ini adalah berjumlah RM588 juta yang dilaksanakan sepenuhnya oleh kontraktor dan perunding tempatan.

Fadillah berkata lagi, enam jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak telah siap dan sedia untuk digunakan.

Pakej Telok Melano ke Sematan yang telah siap sepenuhnya pada 6 Januari 2019 dan Seksyen Jambatan Batang Rajang dan Seksyen Julau bagi Pakej Kerja 07, Persimpangan Bintangor ke Persimpangan Julau telah siap pada 9 Oktober 2021 dan 28 Oktober 2021.

Seksyen Serian bagi Pakej Kerja 03, Bulatan Serian ke Balai Ringin telah siap pada 4 Disember 2021 dan Seksyen Persimpangan Bertingkat Nyabau bagi Pakej Kerja 10, Simpang Nyabau ke Sungai Tangap telah siap pada 26 Januari 2022.

Seksyen Pujut bagi Pakej Kerja 11, Sungai Tangap ke Jalan Pujut Link telah dibuka untuk pengguna jalan raya pada 2 Julai 2022.

Persimpangan bertingkat Sri Aman bagi Pakej 4, Persimpangan Pantu ke Batang Skrang yang telah dibuka untuk pengguna jalan raya pada 4 September 2022.

“Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya akan meneruskan usaha untuk memberikan komitmen padu dalam menyediakan infrastruktur terbaik kepada rakyat demi membantu meningkatkan kesejahteraan hidup, meningkatkan pendapatan melalui aktiviti ekonomi buat seluruh Keluarga Malaysia,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.