Anak Sarawak bakal terima manfaat Dana Kekayaan Berdaulat

Spread the love

LIMBANG, 14 Nov: Anak Sarawak bakal menerima manfaat daripada Dana Kekayaan Berdaulat yang akan diperkenalkan oleh kerajaan Sarawak menerusi satu rang undang-undang yang dijangka dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri bulan ini, kata Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

Menurutnya, dana itu bertujuan menyediakan dana pendidikan percuma dan berkualiti kepada rakyat Sarawak.

“Dana ini akan menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat bermula dari peringkat bawah sehinggalah ke peringkat universiti.

 

Datuk Dr Abdul Rahman Ismail ketika berucap pada Program Post COVID-19 Kesihatan dan Keselamatan anjuran Persatuan Hakka Bahagian Limbang

“Di sini kita lihat kerajaan Sarawak, pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah memandang ke depan demi anak-anak kita dan seluruh rakyatnya,” katanya ketika berucap pada Post COVID-19, Kesihatan dan Keselamatan anjuran Persatuan Hakka Bahagian Limbang, di sini, pada Ahad.

Sebelum ini, Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, menerusi dana itu Sarawak melihat kepada usaha menyediakan pendidikan berkualiti dan percuma kepada anak Sarawak serta untuk menghantar bakat muda ke universiti terkemuka dunia untuk mencari ilmu dan kemahiran.

Katanya, penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak akan diuruskan secara profesional oleh lembaga pengarah daripada latar belakang berbeza dan ditubuhkan berdasarkan ‘Prinsip Santiago’.-TVS

 

 

 

 

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.