Uptown Samarahan perlu penambahbaikan, tekankan keselesaan peniaga

Spread the love

KOTA SAMARAHAN, 13 Nov: Selepas tujuh tahun beroperasi di tapak sementara, Uptown Samarahan yang terletak di Desa Ilmu di sini, memerlukan penambahbaikan bagi membolehkan aktiviti perniagaan dijalankan dengan selesa dan kondusif.

Pengerusi Uptown Samarahan Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS), Saidi Rasemi berkata, walaupun kedudukan lokasinya yang strategik, namun ia terdedah kepada risiko kerosakan terutama ketika angin kuat.

Mewakili 130 peniaga kecil yang beroperasi di tapak niaga itu, Saidi berkata, pihaknya telah memikirkan beberapa bentuk penambahbaikan segera dan jangka panjang untuk kawasan berkenaan.

“Saya pernah terfikir dan merancang bersama ahli pengurusan yang lain, kita mengharapkan dua strategi iaitu jangka pendek dan jangka panjang , di mana strategi jangka pendek untuk mengurangkan kerosakan melibatkan khemah peniaga.

“Kita mencadangkan untuk menanam beberapa pokok ataupun penghadang bagi menghalang atau memecahkan laluan angin bagi mengurangkan risiko kerosakan kepada barang perniagaan.

“Apa yang penting ialah kita mahu menjadikan ia sebagai tapak kekal untuk kawasan Samarahan cuma kita perlu mengikut prosedur yang betul sehingga kita mendapatkan tapak khas untuk peniaga yang betul betul ingin meneruskan perniagaan masing masing.

Dalam pada itu katanya, beberapa alternatif turut diharap dapat dilaksanakan oleh peniaga termasuk mengadaptasi penggunaan teknologi digital sebagai medium perniagaan di Uptown Samarahan.

Ia penting sebagai usaha mengaktifkan semula peniaga yang sebelum ini kira-kira 50 peratus peniaga kecil terpaksa menutup perniagaan mereka susulan kesan pandemik Covid-19.

Mengulas mengenai perkara itu, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, rancangan naik taraf sudah dirangka namun proses tersebut perlu dilakukan mengikut prosedur.

Ia termasuk mengemukakan rayuan kepada agensi berkaitan bagi merealisasikan pelan jangka panjang yang telah dirangka.

“Sebab isu kita sekarang ialah kemudahan contohnya khemah sedia ada ini tidak tahan lama sebab kawasan ini terbuka dengan angin dan sebagainya.

“Memang ada perancangan untuk kita membuat lebih baik daripada ini namun kita terpaksa mengikut prosedur sebab ini merupakan kawasan tapak sementara, kita perlu mendapat pengesahan daripada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) dahulu sebab kelulusan sebelum ini menetapkan tapak niaga tanpa bangunan kekal.

Beliau mengakui ada menerima maklum balas daripada peniaga di kawasan tersebut agar tapak niaga berkenan dinaik taraf supaya dapat memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.