Syarikat penerbangan sendiri, Sarawak tunggu lampu hijau MOT

Spread the love

KUCHING, 13 Nov: Hasrat Sarawak untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri akan tercapai dalam masa terdekat, kata, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Pada peringkat ini, menurut Abang Johari kerajaan negeri sedang menunggu keputusan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) berkaitan pemilikan lesen memandangkan kajian mengenai penubuhan syarikat penerbangan itu telahpun selesai.

“Kita telah buat kajian dan hasil kajian adalah positif, Oleh itu sekarang ini kita menunggu keputusan MOT untuk mendapatkan lesen,” katanya pada sidang media program Sarawakku Sayang 2022 di Esplanada Telaga Air di sini, hari ini.

Sarawak tunggu ‘lampu hijau’ MOT

Menurut Abang Johari hasrat Sarawak memiliki syarikat penerbangan sendiri adalah bertujuan untuk mengembangkan syarikat Hornbil Skyways sebagai satu daripada ‘commercial arm’ mereka.

“Dengan ada syarikat penerbangan ini nanti, kita dapat membawa (lebih banyak) pelancong masuk ke Sarawak,“ ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya pada program tersebut, Abang Johari memberi bayangan bahawa tempoh yang diperlukan untuk menubuhkan syarikat penerbangan di Sarawak itu mengambil masa tiga bulan.

“ Insha Allah dalam masa 3 bulan saya nak tubuh syarikat penerbangan, saya cakap dan saya akan buat, “ katanya.

Sebelum ini pada November 2021, Abang Johari memaklumkan Kerajaan Sarawak merancang akan menubuhkan ‘boutique airline’ di bawah Syarikat Hornbill Skyways yang bertujuan membantu menjana pendapatan negeri dengan mengeksport produk pertanian serta memenuhi permintaan untuk perjalanan individu dan pelancongan.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.