Syarikat francais wujudkan 49,000 peluang pekerjaan tahun lalu-Abang Johari

Spread the love

KUCHING, 13 Nov: Sarawak perlu mewujudkan lebih banyak syarikat francais agar dapat menyumbang kepada perkembangan industri francais negara.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan dengan meningkatkan bilangan syarikat seperti ini di dalam negara.

“Saya difahamkan hampir 49,000 peluang pekerjaan telah diwujudkan pada tahun 2021 dan saya jangkakan lebih banyak lagi peluang pekerjaan yang dapat diwujudkan menerusi peningkatan bilangan syarikat francais di dalam negara,” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Barangan Malaysia Zon Sabah/Sarawak 2022 di Tebingan Kuching di sini, malam tadi.

Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Setakat ini terdapat 11 syarikat francais dari Sarawak dengan pelbagai jenama telah menempa nama di peringkat nasional.

Kata beliau, kerajaan Sarawak akan terus memberikan sokongan kepada usahawan-usahawan terutamanya yang berada dalam kategori Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Pelbagai inisiatif telah diberikan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak khususnya bagi mewujudkan usahawan digital yang mahir dalam sektor e-dagang.

“Usaha seperti program GoDigital dilaksanakan bagi membantu peniaga berdagang atas talian dengan menggunakan transaksi digital. Berniaga atas talian ini dapat meluaskan pasaran mereka,” katanya.

PKS telah membantu membangunkan ekonomi negara dan mendapat tempat di pasaran luar, menjadikannya antara industri yang menjadi penyumbang besar kepada hasil eksport negara.  – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.