‘Sokong Jeffery, sokong saya’- Sebastian Ting

Spread the love

MIRI, 13 Nov: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting meminta rakyat Miri memberi sokongan kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerusi Parlimen Miri, Jeffery Phang Siaw Foong pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Beliau percaya Jeffery Phang akan dapat membawa perubahan untuk Miri setelah 10 tahun Miri tidak menerima kemajuan yang sepatutnya semasa berada di bawah parti pembangkang.

“Menyokong Jeffery Phang sama seperti menyokong saya supaya kami dapat bekerjasama membangunkan Miri.Saya sudah pun di Miri mewakili Piasau, dan saya juga Timbalan Menteri. Jadi lebih elok kita ada pasukan yang lengkap.

“Jadi saya berharap sangat kepada semua orang dan kawan-kawan saya, keluar sokong Jeffery Phang. Kalau kamu hendak sokong, fikirlah saya. Bersama-sama saya dan Jeffery Phang akan bekerjasama untuk Miri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pengagihan Pinjaman Pendidikan oleh Persatuan Wanita Penyayang Bandaraya Miri di Hotel Dynasty hari ini.

Katanya, cara membentuk pasukan yang kuat di Miri yang terdiri daripada GPS ialah dengan memilih Jeffery Phang dapat mewakili kerusi Miri di dalam Parlimen.

“Kalau kita melihat kepada pasukan di Miri, buat masa ini kita sudah ada tiga untuk DUN, saya untuk Piasau, Adam Yii Siew Sang untuk Pujut dan Senadin di bawah Dato Sri Lee Kim Shin.

“Jadi kita tiga sudah ada di Miri. Jadi kita harap kita dapat buat tiga tambah satu, satu di dalam Parlimen untuk Jeffery Phang. Kita harap pengundi Miri akan mengundi Jeffery Phang supaya pasukan di Miri menjadi lebih lengkap,” katanya lagi.

Pada majlis itu Datuk Sebastian Ting melakukan acara simbolik penyerahan bantuan pinjaman pendidikan kepada enam ahli persatuan yang memohon bantuan bagi membantu pelajar yang mempunyai masalah kewangan.

Tiga ahli telah menerima bantuan sebanyak RM1,000 untuk pendidikan di sekolah rendah dan sekolah menengah manakala tiga ahli yang lain menerima bantuan sebanyak RM3,000 untuk di kolej dan universiti.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.