PRU-15: Clarence Ting lancar manifesto untuk tawan Sibu

Spread the love

SIBU, 13 Nov: Enam teras pembangunan untuk kesejahteraan rakyat antara inti pati manifesto parlimen Sibu serta janji calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Clarence Ting Ing Horh untuk mengubah wajah bandar berkenaan.

Menurut Clarence Ting, sekiranya berjaya menawan bandar Sibu beliau akan membawakan enam teras pembangunan sebagai panduan kepimpinannya.

Enam teras utama itu katanya merangkumi pembangunan golongan belia, kesihatan, pendidikan, membangunkan kemudahan infrastruktur asas di Sibu, transformasi di tebing barat Sibu sekali gus membangunkan Sibu.

“Beri saya tempoh lima tahun untuk laksanakan pekara ini dan saya berharap anda undi saya pada 19 November ini nanti,” katanya pada pelancaran manifesto di bilik gerakan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Clarence memberitahu teras kesihatan antara usaha mempertahankan hak dan keistimewaan Sarawak dalam kuasa pentadbiran autonomi terhadap sistem kesihatan.

“Saya juga akan menumbuhkan kedua-dua pusat Jantung dan Onkologi di Sibu,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu dalam bidang pendidikan beliau akan memastikan bahawa kerajaan Persekutuan akan mengembalikan status autonomi sistem pendidikan di Sarawak berlandaskan MA63, IGC Report, Perlembagaan Sarawak dan juga Perlembagaan Persekutuan.

“Sudah tentu, usaha pertama saya adalah mahu mengembalikan kuasa autonomi pendidikan iaitu penggunaan Bahasa Inggeris di Sarawak,” katanya sambil meyakinkan akan mendapatkan lebih banyak dana dari Persekutuan untuk menambah baik sekolah di luar bandar Sibu.

Seterusnya janji beliau juga akan menambah baik jalan Persekutuan iaitu sepanjang Jalan Deshson, Jalan Tunku Abdul Rahman (Airport Road) dan juga membina jalan baharu dari Jalan Sg. Bidut ke Empawah.

Tambahnya, Sibu akan terus dibangunkan dengan mengutamakan aspek mengindahkan lagi landskap Sibu, memperluaskan lagi capaian liputan internet 5G dan juga kualiti air di Sibu.

Manakala sistem perparitan kata Clarence juga penting justeru usaha menaik taraf sistem sedia ada serta kerja pembersihan sungai juga akan dirancang dengan baik. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.