Pendidikan kekal agenda utama perjuangan kerajaan

Spread the love

SARIKEI, 13 Nov: Usaha meningkatkan tahap pendidikan dalam kalangan generasi muda negeri ini terus menjadi agenda utama kerajaan di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS), bukan sekadar bertujuan menerapkan budaya cintakan ilmu, tetapi juga mengubah taraf sosial ekonomi rakyat melalui bidang yang dianggap sebagai pelaburan masa depan.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah dana besar bagi tujuan berkenaan.

“Kerajaan negeri memperuntukkan banyak dana untuk membangunkan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) seperti Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu, Universiti Teknologi Swinburne di Kuching, Universiti Curtin Malaysia di Miri, Kolej Laila Taib (LTS) di Sibu dan sebagainya.

“Jadi penekanan kita ke atas pendidikan ini adalah satu-satunya wadah perjuangan kita bukan sahaja sebagai masyarakat Melayu, Melanau dan sebagainya tetapi sebagai rakyat Sarawak keseluruhannya,” katanya ketika menghadiri Pentas Sama Rindok anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYMBS) di Sarikei semalam.

Beliau berkata, bidang itu kekal menjadi teras utama dalam merealisasikan agenda pembangunan negeri selaras dengan matlamat demi memastikan Sarawak maju dalam segenap aspek.

“Penekanan terhadap bidang pendidikan adalah dengan membangunkan IPTS. IPTS merupakan institut pengajian yang mahal, lebih-lebih lagi untuk rakyat kategori B40 atau M40.

“Oleh itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhasrat untuk membangunkan IPTS untuk anak-anak kategori B40 dan M40 untuk dididik dalam IPTS ini,” katanya lagi.

Justeru beliau berkata, bagi memastikan keberkesanan dan kejayaan agenda itu, seluruh eko-sistem perlu bersatu dan bergabung tenaga menyokong sepenuhnya perjuangan kerajaan sedia ada. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.