Pelbagai inisiatif tingkat pendapatan pekebun kecil sektor penanaman getah

Spread the love

LIMBANG, 13 Nov: Kerajaan komited memperkenalkan pelbagai inisiatif dan bantuan bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil dalam sektor penanaman getah.

Inisiatif tersebut kata Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail susulan kerajaan melihat sektor penanaman getah antara penyumbang besar kepada peningkatan ekonomi negara.

“Tanaman getah adalah satu-satunya komoditi yang masih diberi bantuan penuh oleh kerajaan seperti insentif pengeluaran getah (IPG) sekiranya harga pasaran getah berada di bawah paras RM2.50 sekilogram,” katanya pada Majlis Pekebun Kecil Makmur Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), peringkat RISDA bahagian Limbang hari ini.

Sementara, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu mendedahkan, Program Tanam Semula Getah Berturut adalah berkeluasan 2,854 hektar dengan peruntukan yang telah dibelanjakan sebanyak RM33.6 juta melibatkan kawasan Limbang dan Lawas.

“Bagi daerah Limbang, Program Tanam Semula Getah Berturut berkeluasan 951 hektar dengan peruntukan RM12 juta.

“Bagi tahun 2022, Program Tanam Semula Getah Semasa, RISDA bahagian Limbang  menerima permohonan Tanam Semula Getah seluas 250 hektar meliputi daerah Limbang dan Lawas dengan peruntukan RM2 juta,” katanya.

Selain itu, tambahnya RISDA juga membantu pekebun kecil atau ahli isi rumah (AIR) yang menceburi bidang keusahawanan untuk mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi dengan menyediakan bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET).

Dalam pada itu, beliau memberitahu RISDA Bahagian Limbang berjaya melahirkan 89 orang usahawan meliputi usahawan daerah Limbang dan Lawas dengan peruntukan sebanyak RM954,529.

“Bagi Daerah Limbang, 24 orang usahawan telah mendapat bimbingan dengan peruntukan yang diterima sebanyak RM244,100,” katanya.

Turut sama Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Residen bahagian Limbang, Jamalie Busri dan Pengarah Risda negeri Sarawak Shaharuddin Saberi. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.