Abang Johari persoal kredibiliti PH mahu selesai isu MA63

Spread the love

KUCHING, 13 Nov:  Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mempersoalkan kredibilti Pakatan Harapan (PH) yang menawarkan akan menyelesaikan isu hak Sarawak dan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sekiranya memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Saya tanya kamu adakah kamu percaya selepas apa yang terjadi selama 22 bulan mereka memerintah, itu sahaja yang saya nak komen, “  katanya pada sidang media program Sarawakku Sayang 2022 di Esplanada Telaga Air di sini hari ini.

Abang Johari persoal kredibiliti Pakatan Harapan

Abang Johari yang juga merupakan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PH, Dato Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu lepas yang memaklumkan MA63 akan diselesaikan tanpa proses yang panjang sekirannya gabungan itu memegang tampuk kuasa di peringkat persekutuan sekali lagi.

Sementara beliau enggan mengulas lanjut berhubung kebarangkalian akan wujud kerjasama antara GPS dan PH bagi membentuk kerajaan selepas PRU-15.

“Bertanding dulu baru kita tahu, kalau tak bertanding macam mana kita nak tahu, “ tegasnya.

Dalam pada itu, Abang Johari menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak yang menggambarkan satu undi kepada GPS bermaksud satu undi kepada Barisan Nasional (BN).

Hal ini berikutan wujudnya beberapa kain rentang yang dipercayai dipasang oleh parti pembangkang di tepi jalan utama di bandar raya Kuching yang tertulis “ GPS menang, Zahid Senang”.

Slogan itu merupakan sindiran kepada GPS susulan ia merujuk kepada jika GPS menang, secara tidak langsung gabungan empat parti komponen berkenaan akan membantu Pengerusi BN, Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan dengan beberapa kes berprofil tinggi di mahkmah melibatkan salah guna kuasa dan rasuah.

“Macam mana Zahid boleh senang, sepatutnya Abang Jo yang senang,“ katanya menjawab ringkas mengenai isu tersebut. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.