Abang Johari beri bayangan Wan Junaidi bakal menjawat peranan baharu

Spread the love

KUCHING, 13 Nov: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan menjawat tugas baharu di peringkat negeri.

Menurut Abang Johari, walaupun Wan Junaidi tidak lagi menjadi wakil rakyat mewakili Sarawak di peringkat persekutuan, namun kerajaan negeri masih memerlukan pengalaman dan kepakaran beliau bagi membantu dalam aspek perundangan dan alam sekitar.

Abang Johari beri bayangan Wan Junaidi ada peranan baharu

“Dia ada pengalaman banyak, Dato Sri Wan Junaidi berkecimpung dalam arena kepakaran antarabangsa khususnya dari sudut alam sekitar dan juga dari sudut perundangan.

“Sebelum ini saya dah bercakap dengan beliau untuk membantu saya kerana ekonomi kita sekarang berkisar kepada ekonomi baharu seperti industri perdagangan karbon yang melibatkan undang-undang antarabangsa, oleh itu saya memerlukan pengalaman beliau,” katanya pada sidang media program Sarawakku Sayang 2022 di Esplanada Telaga Air di sini, hari ini.

Sementara itu, menjawab soalan pemberita mengenai sama ada Wan Junaidi akan dilantik sebagai penasihat atau pun diberi jawatan tertentu, Abang Johari memaklumkan perkara itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

“ Selepas ini saya akan menentukan perkara ini,” jelasnya.

Wan Junaidi merupakan antara Ahli Parlimen paling lama berkhidmat di Sarawak, iaitu selama 32 tahun sejak 1990 dan beliau memutuskan untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Santubong pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan tempatnya bakal diganti oleh Dato Sri Nancy Shukri.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.