Taman Kejuruteraan Marin lonjak potensi Tanjung Manis

Spread the love

SARIKEI, 12 Nov: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan komitmennya merealisasikan hasrat membangunkan Taman Kejuruteraan Marin di Tanjung Manis.

Kesungguhan kerajaan untuk meneruskan perancangan itu merupakan salah satu pendekatan untuk melonjakkan potensi Tanjung Manis dalam bidang yang berkaitan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, usaha berkenaan bakal membuka peluang yang lebih baik untuk pemain industri pembuatan kapal, pembaikan kapal serta industri minyak dan gas.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan merasmikan Program Jum Regista Bisnes di Sarikei semalam. Foto: TVS

“Kita ada perancangan untuk membangunkan Taman Kejuruteraan Marin di Tanjung Manis bukan sahaja untuk pembinaan kapal-kapal, juga untuk aktiviti yang berkait dengan industri minyak dan gas. Ini akan membantu kita untuk membangunkan kawasan ini,” katanya ketika merasmikan Program Jum Regista Bisnes di Sarikei semalam.

Beliau berkata, perancangan itu selaras dengan pelbagai usaha yang sedang giat dilaksanakan kerajaan dalam meningkatkan akses penduduk termasuk pembinaan jambatan Jalan Pasi dan jambatan Batang Paloh.

Secara tidak langsung beliau berkata, ia juga akan meningkatkan potensi besar daerah Tanjung Manis dan Sarikei dalam sektor perikanan dan pertanian.

“Kita juga mahu meningkatkan lagi kecekapan pelabuhan di Tanjung Manis. Jadi, kita menambah baik kemudahan air, jalan raya, jalan keluar dan meningkatkan kemudahan laut yang membuatkan Premier kita bersetuju untuk membentuk agensi pembangunan yang khusus melibatkan Sarikei, Mukah dan kawasan sekelilingnya,” katanya lagi.

Sebelum ini, Awang Tengah berkata, Paloh dipilih kerana lokasinya yang sesuai untuk kapal lebih besar bagi tujuan membangunkan Taman Kejuruteraan Marin. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.