PRU-15: Ulangi sokongan kepada GPS seperti PRN-12

Spread the love

KUCHING, 12 Nov: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu rakyat Sarawak mengulangi sokongan padu kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) seperti diberikan ketika Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).

Meskipun tidak dapat membentuk kerajaan Persekutuan menerusi 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Sarawak, beliau mahu rakyat Sarawak bersatu padu mengukuhkan suara Sarawak di Dewan Rakyat.

“Sekarang ini (PRU-15) kita berkehendakkan kerajaan yang kuat di peringkat Persekutuan, walaupun kita tidak mempunyai 222 kerusi Parlimen, tetapi pastikan 31 kerusi ini boleh menguatkan kerajaan Persekutuan.

“Sebab itu saya memohon supaya suara Sarawak kuat dan kita sama-sama membangunkan negara Malaysia yang makmur untuk masa depan,” katanya menerusi program Bicara Hati Rakyat Bersama Premier Abang Jo terbitan TVS yang disiarkan pada malam ini.

Program itu menampilkan hos, Najib Imran dan Ghazali Zawawi. Bicara Hati Rakyat Bersama Premier Abang Jo juga akan disiarkan pada 9 pagi, Ahad ini menerusi Facebook dan YouTube TVS.

Beliau berkata lagi, dengan sokongan padu menerusi kemenangan 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN-12, Sarawak kini mempunyai kerajaan negeri yang stabil, sekali gus dapat merancang dan melaksanakan program dan projek pembangunan untuk manfaat rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 19 November manakala undi awal pada 15 November.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS mahu pengundi muda memahami perjuangan GPS yang berpandangan jauh demi masa hadapan mereka.

Matlamatnya dalam merangka ekonomi baharu Sarawak berteraskan digital dan tenaga hijau adalah bertujuan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk generasi baharu.

“Mereka (generasi muda) boleh melihat dasar kita dan apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Mereka yang berumur 18 tahun pada masa kini akan berumur 28 tahun dalam tempoh 10 tahun lagi manakala yang berumur 30 tahun sekarang akan menjadi 40 tahun.

“Maknanya apa yang saya buat ketika ini di bawah PCDS 2030, dana kekayaan berdaulat dan semuanya adalah untuk masa depan,” jelasnya.

Jelasnya lagi, golongan yang berumur 20 tahun dan ke atas memerlukan pekerjaan manakala pekerjaan yang disediakan mestilah sesuai dengan perkembangan ekonomi agar dibayar gaji tinggi.

Malah, menurutnya penubuhan TVS adalah untuk membuka peluang dan mengembangkan industri kreatif dan persembahan demi manfaat generasi muda.

“Saya rasa (generasi muda) hendaklah berfikir panjang. Selagi kita ada kepimpinan yang boleh melihat apakah yang berlaku pada masa hadapan,” ujarnya.

Menyentuh mengenai perjuangan GPS, beliau berkata parti sentiasa membuka ruang kepada orang muda dengan mengetengahkan calon-calon muda pada pilihan raya.

Beliau mengambil contoh, Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Dato Sri Rohani Abdul Karim yang secara sukarela berundur daripada dicalonkan semula pada PRU-15.

Antara orang muda yang diketengahkan GPS ialah calon Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, 37, dan calon Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, 44.

“Mereka (pemimpin muda) akan menimba pengalaman pada zaman muda agar menjadi pemimpin yang boleh meneruskan pembangunan ke arah 2030,” ujarnya.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.