PRU-15: Miri terlepas banyak peluang pembangunan di bawah pembangkang

Spread the love

MIRI, 12 Nov: Setelah 10 tahun berada di bawah parti pembangkang dan terlepas banyak peluang serta projek pembangunan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited untuk merampas semula kerusi Parlimen Miri pada  Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang meluahkan harapannya untuk memastikan calon GPS, Jeffery Phang Siaw Foong, dipilih untuk mewakili Parlimen Miri bagi mendapatkan lebih banyak pembiayaan dan projek yang dapat membangunkan bandaraya Miri dengan lebih baik.

“Sejak 10 tahun yang lalu, kita telah terlepas begitu banyak projek pembangunan  di bawah pembangkang, jadi kita sekarang mesti mengambil peluang ini untuk melakukan yang terbaik memastikan calon kita Jeffery Phang akan dipilih kali ini.

“Kita mahu dia mewakili suara kita ke Parlimen untuk memperjuangkan kita, dari segi pembiayaan, geran dan projek untuk Miri supaya Miri lebih membangun menjadi tempat pelancongan. Itu juga akan membantu ekonomi jangka panjang Miri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Hari Keluarga Persatuan Melanau Miri (PMM) Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-60 hari ini.

Tambahnya, Jeffery Phang akan dapat memenuhi objektif GPS di peringkat kebangsaan bagi mempunyai kerajaan yang stabil dan memastikan kerjasama dari blok dan kumpulan yang bekerja bersama GPS.

“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan objektif kita adalah untuk memastikan kita mempunyai kerajaan yang stabil. Pada masa yang sama, kita akan pastikan kumpulan dan blok yang bekerjasama dengan kita, bekerja dengan GPS untuk kepentingan Sarawak.

“Jadi saya fikir di peringkat kebangsaan ini, kita mempunyai lebih banyak sebab untuk memastikan Jeffery Phang dipilih untuk mewakili kita sebagai ahli GPS di Parlimen, jika bersama kita pasti akan mencapai lebih banyak lagi,” katanya lagi.

Tambahnya, pada awal tahun ini, Kerajaan Sarawak telah menyumbang sebidang tanah di Jalan Pujut Padang Kerbau untuk kegunaan PMM sebagai tanda sokongan kepada persatuan ini.

PMM telah ditubuhkan bagi menjaga pendidikan, kebajikan, sosial dan budaya termasuk adat kaum Melanau di Miri, misalnya AJK Adat Melanau Likau (Melanau Bukan Islam) yang diwujudkan sebagai rujukan adat perkahwinan kaum Melanau, terdapat lebih kurang 2,000 ahli di dalam PMM.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.