Peruntukan RM120,000 setiap parlimen untuk kelestarian rakyat

Spread the love

KUCHING, 12 Nov: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM120,000 kepada setiap parlimen untuk pelaksanaan program berasaskan komuniti bertujuan untuk melestarikan rakyat negara ini.

Pensyarah Kanan Sakulti Sains dan Kognitif Pembangunan Manusia Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Koordinator Matlamat Pembangunan Lestari Prof. Madya Dr. Zaimuariffudin mencadangkan dana berkenaan disalurkan kepada tiga projek berasaskan komuniti.

Menurutnya, inisiatif kerajaan ini bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang termaktub dalam 17 matlamat utama Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Dalam masa sama, bagi menjayakan program ini, kita akan mencari rakan pelaksana yang bukan dari agensi kerajaan tetapi kelab atau persatuan,” katanya ketika ditemu bual pada program Malaysia Decides terbitan TVS pada Sabtu.

Tegasnya peruntukkan tersebut selari dengan cogan kata ‘tiada siapa yang tertinggal di belakang’ memandangkan ia disediakan untuk setiap lapisan masyarakat merangkumi belia, warga emas, ibu tunggal, bapa tunggal dan lain-lain.

Dalam perkembangan sama, kata beliau kerpihatinan kerajaan bukan sahaja tertumpu kepada peruntukan dana namun turut mengambil kira keperluan masyarakat.

“Seperti di Parlimen Batang Sadong, perhatian mereka ialah kemahiran Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar oleh itu jalan penyelesaiannya adalah mencari para pengajar untuk mengajar mereka dan latihan ini dilakukan selama 3 hingga 6 bulan,” katanya lagi.

Sementara di Parlimen Hulu Rajang, Zaimuariffudin berkata program berasaskan komuniti melibatkan peniaga menggunakan teknologi dalam penghasilan produk makanan juga merupakan kejayaan program berasaskan komuniti.

“Saya juga dimaklumkan mengenai pembuatan makanan dimana mereka membuat demo pastri, roti dan kek. Hasil daripada kursus itu, mereka akhirnya dapat menjalankan perniagaan dengan menjadi pembekal roti di sekolah dan menjalankan perniagaan sendiri,” jelasnya.

Oleh yang demikian, Dr. Zaimuariffudin memberitahu Parlimen Malaysia mendapat pujian antarabangsa dalam pelaksanaan insitiatf serta pendekatan melestarikan rakyat yang seterusnya diangkat untuk menjadi garis panduan negara lain. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.