Kepimpinan Abang Johari diyakini, Sarawak jadi negeri berpendapatan tinggi – Fadillah

Spread the love

KUCHING, 12 Nov: Kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggerakkan ekonomi negeri menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 diyakini akan menjadikan Sarawak bergelar negeri berpendapatan tinggi.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Petra Jaya, Dato Seri Fadillah Yusof optimis pelaksanaan PCDS 2030 berupaya menaik taraf ekonomi negeri ini dalam tempoh yang disasarkan oleh kerajaan negeri.

Memetik sebelum ini, Sarawak telah memperoleh pendapatan tambahan berjumlah RM 3 bilion dengan mengenakan cukai jualan setelah Ordinan Perlombongan Minyak 1958 diiktiraf, menurut Fadillah kejayaan ini menyaksikan keberkesanan strategi yang disusun oleh kerajaan negeri.

“Alhamdulillah, kita dapat melihat perancangan kerajaan negeri pimpinan Premier Sarawak kita membuahkan hasil sekali gus matlamat untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri maju dan berpendapatan tinggi boleh dicapai,” katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika menghadiri Majlis Minum Petang dan Majlis Kesyukuran bersama Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) cawangan Astana di Ombak Cafe, Hotel Samudera, Kuching, hari ini.

Menurut Menteri Kanan Kerja Raya itu lagi, tuntutan kerajaan Sarawak terhadap cukai jualan daripada Petronas juga ke arah positif sebelum ini.

“Kita dapat mengenakan cukai jualan kepada semua penggiat industri minyak dan gas di Sarawak. Seterusnya tuntutan ini menambah pendapatan negeri kita berjumlah RM 3 bilion lagi,” jelasnya.

Manfaat daripada pertambahan pendapatan negeri kata Fadillah dapat disaksikan menerusi pelbagai bantuan disediakan oleh kerajaan Sarawak untuk rakyatnya ketika pandemik Covid-19 yang lalu.  – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.