Penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat dibentang pada sidang DUN – Abang Johari

Spread the love

KUCHING, 12 Nov: Kerajaan negeri yang ditadbir Gabungan Parti Sarawak (GPS) menunaikan janji yang dibuat ketika Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) berkenaan penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, ini berikutan usaha penubuhannya sudah berada di peringkat akhir kerana undang-undang berkaitan akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bulan ini.

“GPS tunaikan janji, tidak macam orang lain yang menjanjikan sesuatu, kemudian tarik semula.

“Oleh itu, orang Samarahan, berhati – hatilah (dengan janji yang dibuat pihak tertentu), kita tidak mahu pisang berbuah dua kali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Keenam Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), di sini, malam tadi.

Yang turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Ir. Aidel Lariwoo, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris serta Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Dato Peter Minos.

Sebelum ini, Abang Johari berkata, kerajaan negeri akan menubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat dengan melihat dan mengkaji pengurusan yang dilaksanakan oleh Norway, Singapura dan United Kingdom.

Ujar beliau, dana berkenaan bertujuan untuk memastikan masa depan generasi muda serta menjamin kedudukan kewangan Sarawak.

Abang Johari berkata, GPS telah mengotakan janjinya untuk memajukan Kota Samarahan.

“Perkara ini dapat dilihat menerusi pembangunan pesat yang dialami Kota Samarahan melalui penubuhan Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) yang juga merupakan antara janji GPS.

“Saya pernah berjanji untuk menubuhkan IRSDA pada Majlis Ulang Tahun MPKS, dua tahun lepas dan GPS telah berpegang kepada janji berkenaan,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.