Hati-hati ketika menggunakan peralatan gas – PETROS

Spread the love

KUCHING, 12 Nov: Petroleum Sarawak Gas Sdn Bhd (PETROS Gas Business) serta PetrosNiaga Sdn Bhs (PNIaga LPS business), anak syarikat Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) mengingatkan orang awam agar berhati-hati ketika menggunakan peralatan gas di rumah dan perniagaan mereka.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PETROS hari ini, insiden seperti kebocoran gas yang berkaitan silinder gas berpaip serta gas petroleum cecair (LPG) boleh mendatangkan kecederaan yang serius dan juga boleh meragut nyawa.

“Kaedah penyimpanan dan penggunaan sumber bahan api yang tidak betul boleh menyebabkan berlakunya kebakaran atau letupan yang boleh membahayakan keselamatan,” kata kenyataan itu.

Bagi memastikan insiden tidak diingini berlaku, PETROS menyarankan agar orang awam melakukan pemeriksaan keselamatan berkala ke atas perkakas gas, termasuklah silinder gas, hos atau paip, dan meter untuk memastikan tiada tanda-tanda hakisan, keretakan atau kerosakan.

Pengudaraan yang cukup juga perlu dilakukan dan memastikan silinder LPG tersebut diletakkan jauh daripada bahan atau barangan lain yang mudah terbakar.

Sementara itu orang ramai juga perlu menjalankan pemeriksaan kebocoran pada sistem gas mereka menggunakan langkah-langkah berikut:

1.Larutkan sedikit detergen dengan air di dalam botol semburan
2. Hidupkan sistem gas dan semburkan sedikit larutan pada paip sambungan atau hos pengawalan, pengatur gas dan mana-mana titik sambungan lain ke peranti gas
3. Jika terdapat kebocoran, gelembung akan mula muncul dan sekiranya berlaku, tandakan titik kebocoran dan segera matikan bekalan gas
4. Pastikan terdapat ventilasi untuk menyebarkan sebarang gas dan keluarkan sebarang sumber pencucuhan atau haba
5. Jangan gunakan sistem gas sehingga kebocoran diperbaiki
6. Setelah pemeriksaan selesai, lapkan sebarang lembapan dengan berhati-hati. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.