Harapan tinggi rakyat kepada GPS

Spread the love

MUKAH, 12 Nov: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai momentum yang baik untuk menjadi ‘King Maker’ dalam membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, momentum itu harus diteruskan kerana rakyat Sarawak menaruh keyakinan yang tinggi terhadap kerajaan GPS.

“Saya sudah melawat ke beberapa kawasan di Sarawak ini dan rata-rata mereka memberi harapan kepada GPS yang diterajui oleh Premier kita, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Mereka mahukan masa depan yang stabil sambil mempertahankan hak-hak Sarawak yang telah banyak terhakis sama ada secara sengaja atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika  ditemubual selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Seksyen 18 bagi kawasan Jalan Matadeng Selangau dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) Skim Pembesaran Kampung (SPK) Kuala Balingian di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, PRU-15 bakal menyaksikan pengundi-pengundi berumur 18 tahun ke atas dan juga pengundi yang sudah berumur tetapi tidak pernah mendaftar keluar mengundi.

“Mengundi adalah tanggungjawab rakyat dalam menentukan masa depan negara.

“Saya harap pengundi akan turun padang kerana hanya mereka mempunyai kuasa untuk membentuk kerajaan yang akan dibentuk dan memerintah negara ini untuk tempoh lima tahun akan datang,” kata Tengah lagi. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.