Daftar lesen perniagaan memudahkan kerajaan salur bantuan

Spread the love

SARIKEI, 12 Nov: Kerajaan Sarawak tidak mengetepikan kepentingan peniaga kecil sebaliknya mahu menghulurkan bantuan kepada seramai yang mungkin kerana ingin melihat mereka berjaya dalam bidang berkenaan.

Bagaimanapun, kegagalan mereka mendaftarkan perniagaan menyebabkan mereka terlepas daripada mendapat bantuan yang disediakan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kementeriannya memperuntukkan sejumlah dana yang besar untuk membantu peniaga berlesen.

“Kita hendak membantu semuanya termasuklah yang informal iaitu peniaga yang berniaga di tepi jalan, di depan rumah dan ada gerai sendiri.

“Masalahnya kita tidak mempunyai rekod peniaga yang berdaftar. Jika ada rekod, lebih mudah untuk berhubung dengan Majlis Daerah, Inland Revenue Department (IRD) dan Pejabat Daerah untuk mengagihkan dana,” katanya ketika berucap merasmikan Program Jum Register di Pusat Inovasi Sarikei semalam

Beliau berkata, kemudahan yang disalurkan melalui pelbagai pendekatan itu bertujuan memudahkan penggiat industri berkenaan menguruskan perniagaan mereka dengan lancar.

Malah beliau berkata, ia juga menjadi platform kepada mereka untuk melangkah lebih jauh iaitu meningkatkan pendapatan sekali gus mengubah taraf hidup.

“Untuk kemudahan perusahaan kecil dan sederhana, kita telah menubuhkan mikrokredit dan mereka juga tidak perlu membayar faedah untuk tiga setengah tahun yang telah diperjuangkan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” ujarnya lagi. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.