355 surat tanah NCR diagihkan kepada pemilik di Mukah

Spread the love

MUKAH, 12 Nov: Sejumlah 352 surat tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan 35 Lesen Pendudukan Sementara (TOL) diagihkan kepada penduduk di sekitar kawasan Mukah yang merupakan inisiatif kerajaan Sarawak dalam memperkasakan hak-hak rakyat seperti yang digariskan dalam manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam teras ke-20.

Pada majlis penyerahan surat NCR Seksyen 18 bagi kawasan Jalan Matadeng Selangau dan TOL Skim Pembesaran Kampung (SPK) Kuala Balingian, Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini membuktikan kerajaan Sarawak komited untuk memperkasakan rakyatnya dengan hak-hak mereka.

“Banyak tohmahan yang dilemparkan mengatakan bahawa usaha pengukuran tanah ini adalah cara kerajaan untuk merampas tanah rakyat.

“Saya bersyukur kerana rakyat kita tidak mudah terpengaruh dan apa yang berlaku sekarang, banyak permohonan telah diterima dan kita akan meneruskan usaha ini demi kepentingan rakyat,” kata Tengah dalam ucapannya di majlis itu.

Tambahnya lagi, lebih satu juta hektar tanah NCR telah diukur secara perimeter dan 800,000 telah diwartakan di Sarawak.

Usaha tersebut telah dilakukan sejak tahun  2010 di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri Sarawak dan kemudian diberikan kepada pemilik tanah di bawah Seksyen 18 di bawah undang-undang yang sama.

“Untuk meneruskan usaha ini, kerajaan Sarawak juga telah meningkatkan kakitangan kita sebanyak 476 orang yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM30 juta setahun.

“Sememangnya kita akan mengadakan sesi dialog bersama penduduk sebelum kerja-kerja penyukatan di laksanakan untuk mendapat persetujuan mereka.

“Setelah mereka setuju, kita akan menyukat bukan sahaja tanah kampung itu, tetapi tanah individu yang dikendalikan dalam dua peringkat,” kata Tengah lagi.

Setakat 31 Oktober 2022, sebanyak 12,095 lot kediaman telah siap diukur di mana 11,272 lot telah dikeluarkan dengan surat hak milik tanah Seksyen 18 di Bahagian Mukah.

Melalui progtam pengukuruan tanah NCR inisiatif baharu pula, terdapat 56 kawasan telah diluluskan untuk diukur perimeternya yang melibatkan kawasan seluas lebih kurang 19,000 hektar. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.