Teroka peluang yang lebih besar – Awang Tengah

Spread the love

TANJUNG MANIS, 11 Nov: Penggiat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) disarankan memanfaatkan peluang daripada inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sejajar dengan itu, komuniti IKS wajar meneroka peluang lebih besar melalui pelbagai pendekatan termasuk mendalami ilmu bidang yang berkaitan.

Pada masa yang sama, beliau berkata, ia juga mampu memperkasakan keupayaan sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka ke peringkat global.

“Kita akan tumpukan IKS kerana ia sesuatu yang begitu penting dalam ekonomi negara kita. Ia adalah sektor yang membolehkan masyarakat di bandar, pinggir bandar dan lebih-lebih lagi di kawasan desa iaitu kawasan kampung untuk meningkatkan ekonomi orang kampung,” katanya.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata demikian ketika hadir menyempurnakan majlis perasmian, kursus penjenamaan dan pembungkusan produk di Dewan Kampung Jerijeh, Tanjung Manis semalam.

Sehubungan itu, pembungkusan dan pelabelan merupakan perkara utama dalam memperkenalkan sesuatu produk selain mampu menjadi daya tarikan untuk memikat pelanggan.

Beliau berkata, pemain industri berkenaan perlu lebih komited, kreatif dan inovatif bagi meningkatkan prestasi dan ekosistem perniagaan yang lebih sihat khususnya di Sarawak.

“Kita tengok di negara Jepun, ada kuih yang lebih kurang seperti kuih kita. Kalau kita rasa kuih kita lebih sedap, kita boleh buat pembungkusan yang menarik supaya ramai orang membelinya tidak kira menjualnya di lapangan terbang dan pusat beli-belah,” katanya lagi.

Kursus penjenamaan dan pembungkusan produk dianjurkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) dan Pejabat Daerah Tanjung Manis.

Ia memberi pendedahan tentang kepentingan pendaftaran perniagaan, penjenamaan dan pembungkusan, mengikut kesesuaian produk, selain sihat dan selamat untuk pengguna. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.