Stesen Kerbau Maragang bakal jadi pengeluar utama keju Sarawak

Spread the love

LAWAS, 11 Nov: Inisiatif yang diambil kerajaan Sarawak menerusi Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) memperuntukkan RM15 juta untuk membina kilang pemprosesan keju, sekali gus menaik taraf Stesen Kerbau Maragang di sini, bakal menjadikannya sebagai pembekal keju pertama di negeri ini.

Penolong Pegawai Veterinar Kanan Pejabat Veterinar Daerah Lawas, Robine Asut berkata, perancangan kementerian membawa masuk baka kerbau Murrah juga merupakan langkah terbaik bagi merealisasikan impian itu dalam masa terdekat.

“Stesen akan dinaik taraf termasuk pembinaan kilang bermula awal tahun hadapan. Susu dari kerbau Murrah yang akan ditempatkan di stesen ini akan mampu menghasilkan produk keju mozarella yang diiktiraf sijil halal.

Inisiatif kerajaan Sarawak menerusi Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) memperuntukkan RM15 juta untuk membina kilang pemprosesan keju di Stesen Kerbau Maragang sekali gus menaik taraf stesen kerbau berkenaan sebagai pembekal keju Mozarella halal pertama di Sarawak. Foto: Awang Azmil (TVS)

Kilang dijangka siap sekitar Jun 2024 dan akan dioperasikan oleh Maragang Green Valley Dairy Sdn Bhd,” katanya ketika ditemui pada Khamis.

Menurutnya, kerbau Murrah mampu menghasilkan susu sebanyak 15 hingga 25 liter sehari.

Seekor kerbau paya di Stesen Kerbau Maragang, Lawas. Pada masa akan datang, perancangan kementerian membawa masuk baka kerbau Murrah merupakan langkah terbaik bagi merealisasikan impian untuk membina kilang pemprosesan keju di Stesen Kerbau Maragang sekali gus menaik taraf stesen kerbau berkenaan sebagai pembekal keju Mozarella pertama di Sarawak. Foto: Awang Azmil (TVS)

“Nutrien pemakanan kerbau perlu dijaga dengan baik, maka seekor kerbau akan mampu menghasilkan susu sebanyak itu,” jelasnya.

Katanya, di masa akan datang kerbau Murrah juga akan dipawah kepada penternak yang mana dalam tempoh enam tahun penternak hanya perlu memulangkan seekor anak kerbau kepada jabatan.

“Ini sekali gus mampu meningkatkan pendapatan penternak. Bagi penternak yang sudah menternak kerbau pedaging dan juga kerbau Murrah nanti, mereka akan mampu menjual daging dan juga susu kerbau sekali gus mempelbagaikan lagi sumber ekonomi mereka.

Kerbau-kerbau di Stesen Kerbau Maragang, Lawas. Stesen akan dinaik taraf termasuk pembinaan kilang pemprosesan keju dijangka siap pada Jun 2024 dan akan dioperasikan oleh Maragang Green Valley Dairy Sdn Bhd. Foto: Awang Azmil (TVS)

Contohnya, sekiranya seliter susu kerbau Murrah dibeli pada harga RM5, dan penternak mempunyai sekurang-kurangnya 10 ekor kerbau spesis itu, maka pendapatannya boleh mencecah sehingga ratusan ringgit sehari,” ujarnya.

Pada masa sama beliau menyeru golongan muda untuk menceburi bidang penternakan, setakat ini di Sarawak merekodkan sekitar 500 jumlah penternak bendaftar.

“Sekarang bilangan kerbau di Sarawak mencecah enam hingga 7,000 ekor dan kerajaan Sarawak menyasarkan ia mampu ditingkatkan kepada 20,000 ekor menjelang 2030, dengan pertambahan penternak nanti, bilangan kerbau sudah tentu dapat ditingkatkan lagi. – TV


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.