Sarawak perinci rancangan capai sasaran eksport keju halal

Spread the love

LAWAS, 11 Nov: Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk mengeluarkan keju yang diluluskan sijil halalnya hasil dari susu kerbau yang diternak di negeri ini menjelang hujung tahun 2024.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, Dan Pembangunan Wilayah, Dato Dr Abdul Rahman Ismail berkata, ini akan memudahkan Sarawak memasuki pasaran negara Islam.

Katanya, antara perancangan kerajaan pada ketika ini adalah memastikan pengeluaran susu kerbau yang banyak agar mampu menampung permintaan eksport.

“Untuk mendapat susu kerbau yang banyak, pihak peneraju dikehendaki untuk menggantikan kerbau paya kepada kerbau spesis ‘Murrah’.

Seekor kerbau paya di Stesen Kerbau Maragang, Lawas. Antara perancangan kerajaan Sarawak adalah untuk menggunakan baka kerbau Murrah dari luar negara untuk menghasilkan pengeluaran susu kerbau yang banyak agar mampu menampung permintaan eksport keju Mozarella pada masa akan datang. Foto: Awang Azmil (TVS)

“Kalau hendak mengimport hidup kerbau Murrah ini akan mengambil masa, mahal dan sangat kompleks kerana antara sebabnya adalah kerajaan negara yang kita ingin import itu mereka agak berat hati susulan mahu melindungi spesis.

“Kita merancang untuk menggunakan ‘semen’ dari spesis kerbau Murrah dari negara tersebut dan kemudiannya kita menggunakan proses pembiakan inseminasi buatan (artificial insemination) (AI),” katanya  ketika ditemui pada Khamis.

Proses AI itu akan dilaksanakan ke atas kerbau tempatan yang ada di Sarawak yang kemudiannya akan melahirkan anak kerbau dari baka ‘semen’ Murrah yang diimport.

Kerbau Murrah katanya, mampu mengeluarkan susu sebanyak 15 hingga 25 liter sehari.

Jelasnya lagi, untuk merealisasikan pengeluaran produk keju dari Sarawak, sebuah kilang di Stesen Kerbau Maragang, di sini, bakal dibina.

Kerbau-kerbau di Stesen Kerbau Maragang, Lawas. Inisiatif kerajaan Sarawak menerusi Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) memperuntukkan RM15 juta untuk membina kilang pemprosesan keju di Stesen Kerbau Maragang sekali gus menaik taraf stesen kerbau berkenaan sebagai pembekal keju Mozarella pertama di Sarawak. Foto: Awang Azmil (TVS)

“Baru-baru ini satu perjanjian usahasama telah ditandatangani di antara Pertubuhan Peladang Negeri (PPNS) dan Maragang Green Valley Dairy Sdn Bhd untuk penubuhan kilang tersebut termasuk menaiktaraf kawasan stesen.

Kerajaan Sarawak juga telah memperuntukkan RM15 juta untuk projek tersebut,” katanya.

Kata Dr Abdul Rahman lagi, pembinaan kilang dijangka bermula tahun hadapan dan mengambil masa 18 bulan untuk siap.

“Insyaallah projek ini kalau berjaya, Sarawak akan menjadi pengeluar keju mozarella terbesar di Malaysia,” katanya lagi. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.