PRU-15: Suara lantang di Parlimen membawakan pembangunan infrastruktur di Sarawak

Spread the love

KUCHING, 11 Nov: Sarawak memerlukan suara yang lebih lantang di Parlimen bagi membolehkan lebih banyak pembangunan infrastruktur dilaksanakan terutama hospital dan sekolah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata meskipun kerajaan Sarawak mampu membangunkan infrastruktur berkenaan namun terdapat beberapa perkara tertakluk di bawah kuasa peringkat kerajaan Persekutuan.

“Sekiranya kita mahu menambah hospital, klinik dan membaik pulih sekolah, kita mesti berada di dalam kerajaan Persekutuan. Itulah yang kita mahukan,” katanya semasa berucap pada Program bersama Pemimpin N3 Tanjong Datu di sini hari ini.

Melihat kepada situasi ini tegas Azizul, lebih banyak wakil di Parlimen diperlukan untuk berjuang mempertahankan hak-hak Sarawak yang terhakis selama ini.

Memetik contoh sebelum ini seperti kehadiran mantan Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) beberapa perkara telah berjaya dicapai.

Antaranya kata Azizul, pindaan Rang Undang-undang (RUU) bagi larangan Ahli Parlimen bertukar parti dan RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Terima kasih kepada Dato Sri Wan Junaidi yang memperjuangkan hak-hak kita dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Terdahulu majlis menyaksikan Azizul yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu bersama calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri menyerahkan bendera GPS kepada ketua-ketua ranting kawasan tersebut.

Hadir bersama Ketua Penerangan PBB Semariang, Datuk Wan Khalik Wan Muhammad dan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tanjong Datu, Goh Chin Seng. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.