PRU-15: Rodiyah berjaya temui 40 peratus pengundi di Batang Sadong

Spread the love

SIMUNJAN, 10 Nov: Menamatkan hari keenam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), calon-calon bertanding dilihat semakin meningkatkan momentum masing-masing.

Turut tidak terkecuali ialah calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee.

Kata calon muka baharu yang dipertaruhkan oleh GPS itu, setakat ini, beliau telah bertemu hampir 40 peratus pengundi di kawasan itu dan mendapat maklum balas yang meyakinkan.

“Saya terharu melihat sokongan diberikan sekali gus memberi keyakinan untuk membantu GPS mempertahankan kerusi ini.

“Saya amat berterima kasih kepada Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memberi sokongan,  seluruh jentera GPS serta para penyokong yang berusaha untuk memastikan saya menang di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir majlis santai bersama rakyat di RTC Munggu Lalang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Datuk Naroden Majais.

Sementara itu, Rodiyah berkata, beliau juga terharu dengan sokongan yang diberikan oleh pemimpin senior dalam GPS dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang turut padang membantu dan berkongsi pengalaman mereka untuk memantapkan kempen. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.