PRU-15: Manifesto GPS bukti komitmen, kesungguhan kerajaan

Spread the love

MUKAH, 11 Nov: Manifesto yang dilancarkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam membela nasib rakyat Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, manifesto itu juga bukan ‘janji kosong’, sebaliknya mempunyai perancangan pembangunan yang dirangka dengan cukup teliti sebagai usaha membawa Sarawak ke arah yang lebih baik.

“Manifesto GPS merangkumi semua aspek termasuk kepentingan masyarakat dan inilah komitmen kita. Dulu setelah menang, Pakatan Harapan (PH) kata, manifesto itu bukanlah kitab suci, yang tak perlu dilaksanakan, apa guna ada manifesto kalau ia tidak dilaksanakan, ” katanya ketika menghadiri Majlis Bersama Rakyat di Kampung Jerijeh, Tanjong Manis semalam.

Beliau juga berkata, pembentangan Dana Berdaulat dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lama lagi, merupakan salah satu bukti GPS menunaikan janji.

Perkara yang bakal memberi manfaat besar kepada rakyat Sarawak itu katanya, termaktub dalam manifesto GPS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Saya percaya jika kita bersatu padu, Sarawak ini terus stabil terus maju terus makmur, melalui Dana Berdaulat ini, bukan sahaja kita boleh meningkatkan pembangunan fizikal, tetapi mungkin dapat memberi kemudahan untuk anak-anak kita belajar.

“Inilah dasar perjuangan GPS, kalau sudah berjanji, kita akan tunaikan dan itulah komitmen kita dalam manifesto PRU-15 kali ini,” tegasnya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh dan Calon GPS Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.