PRU-15: Jeffery Phang tekad rampas balik kerusi Parlimen Miri

Spread the love

MIRI, 10 Nov: Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited menguatkan jentera parti di Miri bagi merampas balik kerusi Parlimen Miri yang sebelum ini disandang parti pembangkang selama 10 tahun.

Calon GPS kerusi Parlimen Miri, Jeffery Phang Siaw Foong berkata, beliau bertekad untuk bekerjasama dengan lebih dekat bersama wakil-wakli rakyat GPS di Miri bagi berjuang memulihkan hak Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seperti yang dikehendaki Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Bersama tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS di Miri iaitu Dato Sri Lee Kim Shin dari Senadin, Datuk Sebastian Ting dari Piasau dan Adam Yii dari Pujut, kami akan bekerjasama rapat sebagai satu pasukan untuk membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan untuk mencapai visi kami menjadikan Miri lebih hebat.

“Saya juga akan bekerjasama rapat dengan pasukan GPS di bawah pimpinan Abang Johari yang telah berjuang untuk memulihkan hak kita atau hak yang telah terhakis dan belum dipulihkan lagi.

“Untuk menjayakan usaha ini, kita dalam GPS memerlukan sokongan padu rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini,” katanya pada sidang media di Pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Piasau hari ini.

Tegasnya lagi, beliau bertekad untuk membawa suara Sarawak ke Parlimen bagi memberi lebih kuasa kepada jabatan dan agensi Sarawak untuk membuat keputusan secara tempatan.

“Di samping itu, saya akan menyuarakan dengan lantang di Parlimen bahawa Kementerian dan Jabatan Persekutuan harus memberikan lebih kuasa kepada Jabatan dan Agensi Persekutuan Sarawak untuk membuat keputusan secara tempatan, bagi mengurangkan karenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

“Rakyat Miri boleh yakin bahawa sebagai ahli GPS, saya akan sentiasa berusaha untuk mempertahankan dan melindungi hak dan kepentingan Sarawak dan saya juga akan memberi keutamaan kepada kesejahteraan dan kemajuan Miri dan rakyatnya,” ujarnya lagi.

Bagi mendekati para pengundi terutamanya dalam kalangan generasi muda, Jeffery Phang telah melancarkan kod QR ke laman webnya supaya pengundi lebih mengenali calon GPS.

Penggunaan media cetak seperti surat khabar dan media sosial seperti Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube juga digunakan agar pengundi memahami matlamat dan perancangan GPS untuk Parlimen Miri.

Selain itu, Jeffery Phang juga melakukan program ‘walkabout’ di sekitar Bandaraya Miri untuk mendekati dan lebih memahami keperluan rakyat Miri.

PRU-15 bagi kerusi Parlimen Miri menyaksikan persaingan tiga penjuru, Jeffery Phang akan bertembung dengan dua calon iaitu Chiew Choon Man dari Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Lawrence Lai dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Untuk tahun ini, seramai 143,229 pengundi layak memilih calon untuk kerusi Parlimen Miri. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.