DEBAK, 11 Nov: Kempen bersifat perkauman bertujuan untuk meraih undi serta sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sewajarnya dielakkan.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Mohammad Razi Sitam mengingatkan intipati berkempen seharusnya mengambil kira sensitiviti hidup dalam bermasyarakat demi kesejahteraan bersama.
“Ini amat penting bagi menjamin kesejahteraan, hubungan dan keharmonian kaum yang sedia ada di kawasan ini sejak sekian lama,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu berkata demikian pada Program Latihan dan Simulasi Bencana Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Peringkat Bahagian Betong di Dewan Millinea, Debak, semalam.
Beliau menggambarkan keharmonian di negeri ini dapat disaksikan selama ini sebagai satu keluarga walaupun masyarakat terdiri daripada pelbagai kaum.
“Saya harap pihak yang tidak bertanggungjawab di sini (Parlimen Betong) berhenti bermain politik yang menyentuh isu perkauman,” tegasnya.
Jesteru beliau meminta segelintir pihak di Parlimen Betong agar mengadakan kempen secara bijak dan sihat bagi memperlihatkan kesungguhan berkhidmat kepada rakyat untuk bergelar pemimpin.
Menurut beliau perpaduan yang ada di negeri ini telahpun menjadi sebutan ramai pihak selama ini oleh yang demikian rakyat Sarawak sendiri harus memelihara ‘keindahan’nya.
Pada PRU-15 ini kerusi Parlimen Betong menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Richard Rapu (Gabungan Parti Sarawak), Hasbie Satar (Bebas) dan Patrick Kamis (Pakatan Harapan). – TVS
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.