Prestasi KDNK bukti kerajaan berjaya pacu pemulihan ekonomi

Spread the love

BERA, 11 Nov: Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga tahun ini yang meningkat kepada 14.2 peratus adalah bukti kejayaan kerajaan memacu pemulihan ekonomi pasca COVID-19, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ia sekali gus membuktikan tuduhan yang mengatakan kerajaan gagal membawa perubahan kepada ekonomi negara adalah tidak tepat.

Katanya peningkatan itu juga didorong oleh pembukaan sektor ekonomi selaras dengan peralihan ke fasa pandemik, di samping kejayaan memberangsangkan penggunaan sektor swasta dan pasaran buruh negara.

“Peningkatan 14.2 peratus itu lebih pesat daripada suku kedua iaitu 8.9 peratus dan suku pertama sebanyak 5 peratus,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Moh Ngeteh bersama komuniti Orang Asli di Kampung Orang Asli Bongkok di sini hari ini.

“Begitu juga dengan kadar pengangguran yang terus menurun iaitu 3.6 peratus pada Sept lepas,  berbanding 4.6 peratus pada Ogos 2021 (semasa beliau baru dilantik sebagai Perdana Menteri),” tambahnya.

Ismail Sabri berkata keyakinan pengguna ditunjukkan dengan jualan perdagangan borong dan runcit yang mencapai RM134 bilion untuk Sept 2022 iaitu peningkatan 23.9 peratus berbanding Sept tahun lepas iaitu RM108.1 bilion.

“Sektor perniagaan semakin kukuh dengan jualan sektor pembuatan pada Sept 2022 sebanyak RM161.7 bilion iaitu peningkatan 19.5 peratus berbanding Sept 2021.

“Kerajaan sentiasa memantau perkembangan ekonomi global bagi memastikan impak besar kelembapan ekonomi tidak memberi kesan kepada negara,” katanya.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus hari ini mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 14.2 peratus pada suku ketiga 2022, dipacu oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik, pemulihan kukuh pasaran pekerja, eksport elektrik dan elektronik (E&E) dan bukan E&E yang teguh serta sokongan dasar yang berterusan.

Nor Shamsiah dilaporkan berkata pertumbuhan itu sebahagiannya didorong oleh kesan asas yang rendah, berikutan langkah pembendungan yang ketat pada suku ketiga tahun lepas.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.